PARLIMEN | Bekas Menteri Alam Sekitar dan Air Tuan Ibrahim Tuan Man hari ini menggesa kerajaan untuk mendidik rakyat mengenai tenaga nuklear dan sisa radioaktif, di tengah Malaysia bergerak ke arah teknologi yang lebih baik dan selamat.
Menurut Tuan Ibrahim (PN-Kubang Kerian), orang ramai perlu mendapatkan maklumat daripada pakar sebenar agar tidak salah faham sehingga menolak teknologi baru, seperti yang berlaku dalam isu Lynas.
Tuan Ibrahim merujuk bantahan besar-besaran terhadap kilang pemprosesan nadir bumi Lynas di Kuantan sebelum ini, yang menurutnya berpunca daripada penyebaran ketakutan dan maklumat tidak tepat di media.
“Saya setuju dengan beberapa pandangan termasuk yang dibangkitkan Kuala Terengganu (Ahmad Amzad Hashim) dan Machang (Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal) berkenaan bagaimana kita nak didik masyarakat agar memahami implikasi yang melibatkan sisa radioaktif.
“Sebagai contoh, isu Lynas. Sebahagian besar MP di sini adalah antara yang bantah isu Lynas dulu, sehingga Lynas berdepan pelbagai kemelut untuk menyambung lesennya.
“Pelbagai demo dan bantahan dibuat, penduduk Kuantan pun ditakutkan dengan Lynas. Tapi akhirnya hari ini, kita harus akui bahawa maklumat yang diberi pada waktu itu tidak betul dan tidak tepat.
“Maka saya mencadangkan agar pendidikan pada masyarakat perlu diberi dan mereka yang ada kepakaran dalam bidang ini harus tampil memberi jaminan kepada rakyat, bukan biar (masyarakat mengambil maklumat) yang disebar oleh media-media yang tidak ada kepakaran,” kata Tuan Ibrahim.
Tuan Ibrahim berkata demikian ketika membahaskan Rang Undang-Undang (RUU) Perlesenan Tenaga Atom (Pindaan) 2025 yang dibentangkan oleh Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Chang Lih Kang di Dewan Rakyat hari ini.
Menurut Chang, cadangan pindaan itu adalah sebagai persediaan jika Malaysia memilih untuk menggunakan tenaga nuklear selepas 2030.
Menyatakan sokongan terhadap RUU itu, Tuan Ibrahim turut menekankan kepentingan Malaysia untuk mengikuti perkembangan teknologi global.
“Kita sedar dunia terus berubah, teknologi terus berkembang dan memungkinkan pelbagai perkara perlu diteliti semula.
“Oleh kerana kelewatan kita dalam meneliti aspek ini, negara akan ketinggalan bila kebanyakan negara (lain) mula beralih kepada perkembangan teknologi yang lebih efektif dan selamat,” katanya lagi.
Didik dari awal
Amzad turut membangkitkan isu Lynas semasa perbahasan RUU berkenaan.

Katanya, kerajaan perlu mempertingkat komunikasi dengan rakyat supaya mereka mempunyai pemahaman lebih baik terhadap isu tersebut.
“Contohnya (bantahan terhadap) Lynas adalah kerana kurang kefahaman di peringkat rakyat.
“Walaupun disediakan dengan pelbagai fakta yang jelas, rakyat ada pemikiran tertentu berkenaan nuklear.
“Ia memerlukan pendidikan dan kefahaman yang bermula dari usia muda. Semoga dengan cara itu, kita dapat mempersiapkan rakyat untuk bersedia berkembang maju dan berteknologi tinggi di masa akan datang,” katanya.
Laporan oleh Qistina Nadia Dzulqarnain, Hariz Mohd, N Faizal Ghazali