Bekas menteri kanan, Rafidah Aziz, berpendapat seseorang pemimpin negara perlu melaksanakan tugas dengan penuh integriti seperti yang diharapkan, bukan memberi “umpan” kepada orang ramai.
Dalam mesej ringkas kepada Malaysiakini, pemimpin veteran Umno itu berkata: “Tidak perlu menghargai rakyat atau mengumpan mereka hanya untuk mendapatkan undi”.
Kata Rafidah lagi, setiap ringgit yang ada dalam kantung negara adalah milik rakyat, bukannya kerajaan.
“Bekerjalah untuk rakyat dengan penuh keikhlasan, integriti dan tanggungjawab. Bukan semata-mata untuk meraih undi,” katanya.
Kenyataan itu dibuat Rafidah sebagai mengulas pengumuman “penghargaan luar biasa” Perdana Menteri Anwar Ibrahim kepada rakyat yang diumumkan pagi tadi.
Dalam ucapan yang disiarkan secara langsung itu, antara lain Anwar mengumumkan harga petrol RON95 akan turun enam sen kepada RM1.99 seliter sebelum akhir Sept, walaupun kos asal semasa sebelum subsidi ialah RM2.50.
Anwar juga menyentuh isu hutang negara dan pemulihan ekonomi sebagai punca kelewatan langkah itu, sambil menambah ia akan memberi manfaat kepada lebih 18 juta rakyat Malaysia, terutamanya belia dan pekerja gig.
Dia turut mengumumkan Sumbangan Asas Rahmah (Sara) RM100 secara sekali bayar untuk semua rakyat Malaysia berumur 18 tahun ke atas boleh digunakan melalui MyKad di lebih 4,100 kedai dari 31 Ogos hingga 31 Dis.
Langkah tersebut menambahkan peruntukan RM2 bilion dalam peruntukan inisiatif Sara, meningkatkan jumlah perbelanjaan daripada RM13 bilion kepada RM15 bilion.
Sementara itu, Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil menyifatkan pengumuman tersebut sebagai bukti jelas sensitiviti kerajaan Madani terhadap denyut nadi rakyat dan komitmennya untuk meringankan beban mereka dengan pelbagai bentuk bantuan.
Kata Fahmi, pendekatan yang diumumkan itu juga akan meningkatkan lagi pertumbuhan ekonomi, memberi kelegaan kepada rakyat, serta mengukuhkan daya tahan fiskal negara dalam menghadapi ketidaktentuan global.
“Pada masa sama, kerajaan Madani akan terus berusaha mengimbangi keperluan untuk memperbaiki kedudukan kewangan negara dengan tanggungjawab menjaga kesejahteraan rakyat.
“Setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada perdana menteri atas pengumuman langkah Kerajaan Madani yang memberikan kelegaan kepada rakyat, serta memacu kestabilan ekonomi negara,” katanya dalam catatan yang dimuat naik di media sosial.
Fahmi berkata, langkah yang diambil dan diumumkan adalah hasil pertimbangan yang teliti berdasarkan prinsip keadilan sosial dan kelestarian ekonomi.