Malaysia Oversight

Bekas PM Thailand, Thaksin kena masuk penjara setahun

By MkiniBM in September 9, 2025 – Reading time 2 minute
malaysiakini logo


GLOBAL l Mahkamah Agung Thailand memutuskan bahawa bekas perdana menteri Thaksin Shinawatra mesti menjalani hukuman penjara setahun.

Menurut laporan BBC, keputusan ini berkait dengan kes terdahulu apabila dia dijatuhi hukuman penjara selama beberapa tahun atas kesalahan rasuah, namun hanya menghabiskan kurang sehari di dalam sel penjara sebelum dipindahkan ke hospital.

Hari ini, Mahkamah Agung memutuskan pemindahan ke hospital itu tidak sah – dan bekas perdana menteri berusia 76 tahun itu perlu menjalani hukumannya di penjara.

Thaksin dan keluarganya telah mendominasi politik Thailand sejak dia mula dipilih sebagai perdana menteri pada 2001. Anaknya, Paetongtarn, sebelum ini pernah memegang jawatan perdana menteri tetapi digugurkan bulan lalu berikutan kebocoran panggilan telefon.

Tidak lama selepas keputusan diumumkan, Thaksin mengeluarkan kenyataan di media sosia.

“Walaupun saya kehilangan kebebasan fizikal, saya masih mempunyai kebebasan berfikir demi manfaat negara dan rakyat saya.”

Dia turut berikrar untuk terus tabah berkhidmat kepada institusi diraja, Thailand dan rakyatnya.

Bekas perdana menteri itu digulingkan melalui rampasan kuasa tentera pada 2006 dan menghabiskan bertahun-tahun hidup dalam buangan, kebanyakannya di Dubai.

Apabila kembali ke Thailand pada 2023, beliau segera dibicarakan dan disabitkan kesalahan rasuah serta salah guna kuasa sepanjang pentadbirannya, lalu dijatuhi hukuman lapan tahun penjara.

Selepas memohon pengampunan diraja, Raja Thailand mengampunkannya dan mengurangkan hukumannya kepada setahun.

Namun, Thaksin hanya menghabiskan beberapa jam dalam sel penjara sebelum mengadu masalah jantung – lalu dipindahkan ke sayap mewah di Hospital Besar Polis Thailand.

Dia kekal di situ selama enam bulan, kemudian menerima parol dan dibenarkan pulang ke rumahnya di Bangkok.

Dalam penghakimannya, seorang hakim Mahkamah Agung berkata dalam kenyataan bahawa Thaksin “tahu atau boleh menyedari bahawa beliau tidak berada dalam keadaan kritikal atau kecemasan.”

“Menghantarnya ke hospital adalah tidak sah, defendan tahu penyakitnya bukan perkara yang mendesak, dan tinggal di hospital tidak boleh dikira sebagai hukuman penjara,” kata keputusan yang dibacakan oleh hakim.

Hakim itu menambah bahawa Thaksin mempunyai penyakit kronik tetapi boleh dirawat sebagai pesakit luar.

Mahkamah kemudian memerintahkan untuk mengeluarkan waran untuk membawa Thaksin ke Penjara Reman Bangkok untuk mula menjalani hukuman penjara selama setahun.



Source link