Mahkamah Rayuan hari ini memerintahkan seorang bekas pensyarah Universiti Sains Malaysia (USM) menjalani hukuman penjara tiga tahun selepas mengembalikan sabitan terhadapnya atas kesalahan menyalah guna jawatan untuk meluluskan syarikat milik adiknya bagi membekalkan pelbagai barangan di universiti itu.
Panel tiga hakim diketuai Hakim Datuk Mohamed Zaini Mazlan membuat keputusan itu terhadap Prof Badaruddin Mohamed, 60. Mahkamah juga membuat keputusan sama terhadap adiknya, Mustafa Kamal, 54, atas kesalahan bersubahat dengan abangnya itu.
Mohamed Zaini yang bersidang bersama-sama Datuk Noorin Badaruddin dan Datuk Hayatul Akmal Abdul Aziz, turut mengekalkan hukuman denda berjumlah RM807,475 (bagi setiap responden) yang sebelum ini dijatuhkan oleh Mahkamah Sesyen terhadap Badaruddin, dan Mustafa Kamal.
Mahkamah membenarkan rayuan pihak pendakwaan untuk mengetepikan keputusan Mahkamah Tinggi pada Februari tahun lepas yang membebaskan kedua-dua responden. Dengan keputusan ini, sabitan dan hukuman yang dijatuhkan oleh Mahkamah Sesyen dikembalikan.
“Hukuman penjara berkuat kuasa hari ini dan kami dengan ini mengarahkan agar waran pemenjaraan dikeluarkan hari ini terhadap kedua-dua responden,” kata Mohamed Zaini ketika menyampaikan penghakiman.
Menurut Mohamed Zaini, Mahkamah Tinggi telah terkhilaf ketika memutuskan bahawa hakim Mahkamah Sesyen terkhilaf apabila tidak menyatakan anggapan statutori di bawah Subseksyen 23 (2) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 terpakai ketika memanggil responden-responden membela diri.
Beliau berkata anggapan statutori berkenaan perlu dibaca bersama Subseksyen 23 (1) dan terpakai secara automatik apabila pertuduhan dibuat ke atas seseorang di bawah peruntukan itu.
Mahkamah, kata beliau juga telah meneliti dan menimbangkan alasan penghakiman dan hujahan pihak peguam dan berpendapat bahawa penilaian dan dapatan fakta oleh hakim Mahkamah Sesyen adalah kukuh serta tidak wajar diganggu.
Mohamed Zaini berkata mahkamah mendapati sabitan oleh Mahkamah Sesyen adalah selamat untuk dikekalkan.
Pada 19 Ogos 2022, Mahkamah Sesyen mendapati Badaruddin bersalah terhadap sembilan pertuduhan berkaitan salah guna jawatan. Dia dihukum penjara tiga tahun dan denda RM807,475, atau penjara 36 bulan sekiranya gagal membayar denda.
Tujuh pertuduhan melibatkan kesalahan menyalah guna jawatannya sebagai pengarah pejabat Komunikasi Strategik USM untuk meluluskan syarikat milik adiknya, Syarikat MK Urusniaga (M) Sdn Bhd sebagai pembekal barangan dan cenderahati bernilai RM153,793 kepada Pejabat Komunikasi Strategik USM antara 22 Sept 2011 dan 23 Nov 2012.
Bagi dua lagi pertuduhan, Badaruddin didakwa menggunakan jawatannya sebagai Ketua Sustainable Tourism Research Cluster USM untuk meluluskan syarikat milik adiknya itu sebagai pembekal bagi 30 unit “souvenirs glass” bernilai RM3,450 dan biometrik pejabat bernilai RM2,920 kepada Pejabat Sustainable Tourism Research Cluster USM antara 5 Sept 2011 dan 14 Mei 2012.
Bagi semua pertuduhan, Badaruddin didakwa mengikut Subseksyen 23(1) Akta SPRM 2009 dan dihukum di bawah Subseksyen 24(1) akta yang sama.
Mustafa Kamal pula disabitkan bersubahat dengan abangnya mengikut Seksyen 28(1)(c) akta sama. Mahkamah Sesyen turut mengenakan hukuman penjara dan denda yang sama terhadapnya.
Pada 2 Feb tahun lepas, Mahkamah Tinggi telah membebaskan kedua-dua mereka selepas mengetepikan sabitan oleh Mahkamah Sesyen.
Dalam prosiding hari ini, Timbalan Pendakwa Raya SPRM Farah Ezlin Yusof Khan berhujah bahawa Mahkamah Tinggi telah terkhilaf apabila membebaskan responden hanya kerana Mahkamah Sesyen tidak menyatakan secara jelas pemakaian anggapan statutori di bawah Subseksyen 23(2), sedangkan undang-undang tidak mewajibkan berbuat demikian.
Farah Ezlin dibantu oleh Timbalan Pendakwa Raya Law Chin How, Noor Azura Zulkiflee dan Maziah Mohaide.
– Bernama






