Malaysia Oversight

Bekas pengerusi DAP Sabah mahu sertai KDM, tanding semula di Tg Papat

By MkiniBM in November 8, 2025 – Reading time 2 minute
malaysiakini logo


Bekas pengerusi DAP Sabah, Frankie Poon memberi gambaran akan mempertahankan kerusi DUN Tanjung Papat bagi penggal ketiga, tetapi kali ini, di bawah Parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat (KDM).

Ketika dihubungi, Poon, yang meletakkan jawatan daripada DAP bulan lalu, mengesahkan bahawa dia akan mengemukakan permohonan keahlian KDM esok semasa satu majlis di SMJK Tiong Hua, Sandakan.

“Betul,” kata Poon kepada Malaysiakini, “dan ya kepada soalan itu (mengenai akan bertandingaan semula)”.

KDM, parti tempatan yang ditubuhkan pada 2022, kini diketuai oleh timbalan presidennya Wetrom Bahanda, selepas Mahkamah Rayuan pada Ogos tahun ini menolak permohonan presidennya Peter Anthony untuk menyemak semula sabitan bersalah dan hukuman penjara tiga tahun kerana pemalsuan dokumen.

Walau bagaimanapun, Poon enggan mengulas lanjut mengenai barisan tujuh calon DAP Sabah seperti yang diumumkan awal hari ini oleh setiausaha agung parti itu, Anthony Loke – yang terdiri daripada tiga wanita dan empat lelaki – lima daripadanya berumur di bawah 40 tahun.

“Tiada komen […] biar pengundi yang putuskan,” kata Poon apabila ditanya sama ada barisan itu mencerminkan dakwaannya sebelum ini bahawa DAP telah bertindak untuk “mengetepikan” veteran parti demi calon yang lebih muda.

Dia menambah bahawa KDM dijangka mengumumkan senarai penuh calon parti pada 13 November, dua hari sebelum pencalonan rasmi.

Awal hari ini, Free Malaysia Today memetik Poon sebagai mengesahkan bahawa bekas setiausaha DAP Sabah, Liau Fui Fui, juga akan menyertai KDM, dengan memetik dakwaan rasa tidak puas hati peribadi.

Menurut laporan itu, Setiausaha DAP Sabah, Vivian Wong sebelum ini menafikan bahawa Poon dan Liau telah diketepikan oleh parti itu.

Wong dilaporkan berkata kedua-duanya diberi jawatan dalam GLC atas cadangan DAP Sabah, manakala Liau dicalonkan untuk bertanding di kerusi parlimen Batu Sapi semasa pilihan raya umum 2022, namun kepada timbalan menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Khairul Firdaus Akbar Khan.



Source link