IPOH: Bekas pemain, jurulatih dan kakitangan Perak FC mendesak kelab itu menyelesaikan tunggakan gaji serta pampasan yang belum dilunaskan.
Jurucakap kumpulan itu, Wan Zack Haikal Wan Noor berkata, kumpulan itu terdiri daripada 48 orang kecewa kerana bayaran tersebut belum dijelaskan sejak September lalu dan tiada perkembangan positif diterima daripada Perak FC.
Menurutnya, hari ini kumpulan itu telah bertemu dengan wakil peguam Perak FC di Jabatan Tenaga Kerja (JTK) Perak di sini.
“Hasil perbincangan tadi, beliau memaklumkan perlu meneliti kontrak kami semua sebelum sebarang keputusan dibuat.
“Mereka turut memohon penangguhan dengan mengaturkan perbincangan lanjut pada 27 Oktober ini di JTK Perak.
“Kami harap segala masalah ini dapat dipercepatkan dan diselesaikan,” katanya ketika ditemui pemberita di pekarangan Stadium Perak, di sini hari ini.
Pada 27 April lalu, Pengerusi Perak FC, Datuk Seri Azim Zabidi berkata, pasukan itu menarik diri daripada saingan Liga Malaysia musim 2025/2026 berikutan kekangan kewangan.
Azim turut memaklumkan Perak FC hanya mampu membayar 20 peratus daripada keseluruhan tunggakan gaji kepada pemain dan jurulatih, namun tawaran itu ditolak.
Sementara itu, bekas penolong jurulatih Perak FC, Shahrulnizam Mustapha berkata, mereka akan menunggu maklum balas daripada perbincangan bersama wakil Perak FC sebelum memutuskan tindakan lanjut.
“Kami sudah terlalu lama menunggu dan kami harap Perak FC dapat tampil dengan penyelesaian pada pertemuan akan datang,” katanya. – UTUSAN