Bekas Panglima Tentera Darat (PDT), Hafizuddeain Jantan, mengaku tidak bersalah terhadap empat pertuduhan pengubahan wang haram melibatkan dana lebih RM2 juta di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur pagi ini.
Hafizudddeain didakwa menerima sejumlah RM2,122,400 yang dimasukkan ke dalam akaun Maybank dan Bank Muamalat Berhad miliknya dalam empat transaksi berasingan sepanjang tahun 2024 dan 2025.
Dia membuat pengakuan tidak bersalah terhadap pertuduhan tersebut di hadapan Hakim Azura Alwi dalam prosiding hari ini.
Menurut kertas pertuduhan, bekas pegawai tinggi tentera berusia 57 tahun itu didakwa menerima RM969,000 yang merupakan hasil daripada aktiviti haram, yang dimasukkan ke dalam akaun Bank Muamalat miliknya antara 7 Mei hingga 25 Jun tahun lalu.
Dia juga didakwa menerima RM474,850 antara 2 Feb hingga 3 Dis 2024; RM488,550 antara 15 Jan hingga 7 Nov; serta RM190,000 antara 12 Mac hingga 21 Ogos tahun lalu, menjadikan jumlah keseluruhan RM1,153,400 yang dimasukkan ke dalam dua akaun Maybank miliknya.
Kesemua pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 4(1)(b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLA/ATFPUAA), yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum sehingga 15 tahun dan denda sekurang-kurangnya lima kali ganda nilai hasil tersebut atau RM5 juta, mengikut mana yang lebih tinggi.
[Berita penuh menyusul]






