Malaysia Oversight

Bekas menantu Ismail Sabri disoal siasat SPRM lepas raya haji

By MkiniBM in May 26, 2025 – Reading time 2 minute
Bekas menantu Ismail Sabri disoal siasat SPRM lepas raya haji


Pereka fesyen Jovian Mandagie dijadualkan memberi kenyataan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di Jakarta, Indonesia bulan depan bagi membantu siasatan ke atas bekas perdana menteri, Ismail Sabri Yaakob.

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Azam Baki, berkata pegawainya telah berjaya menghubungi Jovian, yang merupakan bekas menantu Ismail Sabri.

“Ya, pegawai saya sudah dapat menghubungi beliau (Jovian).

“Dijangka kita akan mengambil keterangannya dalam beberapa hari selepas Hari Raya Haji,” katanya kepada Sinar Harian pada Isnin.,” kata Azam kepada Harian Metro hari ini.

Jovian bernikah dengan Nina Sabrina Ismail Sabri pada 2013 dan pasangan itu berpisah pada 2023.

Menurut laporan Harian Metro, Azam sebelum ini memaklumkan Ismail Sabri telah menamakan Jovian saksi semasa sesi soal siasat terdahulu, bagi mengesahkan pengisytiharan aset yang telah diserahkan kepada SPRM.

Pada 22 Mei, Azam berkata Jovian akan disoal antaranya bagi tujuan pengesahan terhadap beberapa aset yang diisytiharkan oleh Ismail Sabri.

Azam turut menjelaskan ahli parlimen Bera itu menyerahkan pengisytiharan aset kepada SPRM pada 10 Februari.

SPRM menjangkakan siasatan akan selesai menjelang akhir Jun, sebelum hasilnya diserahkan kepada timbalan pendakwa raya untuk tindakan lanjut.

Ketika ditanya jika agensi itu akan mencadangkan pertuduhan jenayah terhadap bekas perdana menteri, Azam dipetik berkata perkara itu akan dibentangkan sekiranya siasatan mendapati terdapat cukup “elemen” untuk mendakwa Ismail Sabri.

Ismail Sabri sedang disiasat di bawah Akta SPRM 2009 serta Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001.

Difahamkan, siasatan berkait dengan perbelanjaan dan perolehan dana bagi aktiviti promosi serta publisiti di bawah inisiatif Keluarga Malaysia semasa Ismail menjadi perdana menteri, dari Ogos 2021 ke November 2022.



Source link