Malaysia Oversight

Bekas guru besar didakwa buat hantaran ancam Dr Jessie Hiu

By MkiniBM in September 11, 2025 – Reading time 1 minute
Bekas guru besar didakwa buat hantaran ancam Dr Jessie Hiu


Seorang bekas guru besar mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di Kota Kinabalu hari ini atas pertuduhan membuat hantaran berbaur ancaman terhadap pakar patologi forensik Dr Jessie Hiu, saksi inkues kematian Zara Qairina Mahathir, menerusi media sosial Facebook awal bulan ini.

Tertuduh, Kamul Kamarudin, 61, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Marlina Ibrahim.

Mengikut pertuduhan, tertuduh dengan sedar telah membuat komunikasi berbentuk ancaman yang kemudian dibaca oleh Dr Hiu pada 4.15 petang, 5 Sept lepas.

6fd192f150a1e1548e7bc61dfcfdf921

Hantaran tersebut didakwa dimuat naik pada 4 Sept 2025 sekitar 11 malam melalui aplikasi Facebook menggunakan profil ‘Amung Kamaruddin’.

Bagi kesalahan itu, Kamul didakwa mengikut Seksyen 233(1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998, yang boleh dihukum di bawah Seksyen 233(2) akta sama, iaitu denda maksimum RM500,000 atau penjara sehingga satu tahun, atau kedua-duanya sekali.

Timbalan Pendakwa Raya Eugenie Meredith mencadangkan jaminan sebanyak RM20,000 dengan dua penjamin serta tidak menggangu mangsa sehingga kes selesai.

Peguam Elhanan James yang mewakili tertuduh memohon jumlah jaminan dikurangkan dengan alasan anak guamnya memberi kerjasama penuh sepanjang siasatan polis selain menghidap penyakit darah tinggi dan gout.

Hakim kemudian memerintahkan Kamul dikenakan jaminan RM20,000 dengan dua penjamin tempatan.

Sebutan semula kes ditetapkan pada 29 Sept depan.

– Bernama



Source link