Seorang bekas Ketua Pesuruhjaya SPRM mempersoalkan tatacara agensi itu dalam siasatan pengubahan wang haram terhadap Pamela Ling, yang diculik ketika dalam perjalanan ke ibu pejabat SPRM di Putrajaya pada 9 April lalu.
Dalam satu kenyataan, Dzulkifli Ahmad menyatakan rasa terkejut apabila dimaklumkan bahawa Ling telah dipanggil untuk disoal siasat sekurang-kurangnya sembilan kali selepas ditangkap dan direman oleh SPRM.
Menurutnya, undang-undang tidak membenarkan agensi penguatkuasaan undang-undang mengambil keterangan lanjut daripada suspek selepas mereka dibebaskan daripada tahanan reman.
“Perkembangan ini perlu diteliti secara serius. Setelah seseorang individu ditangkap, direman dan keterangannya diambil sepanjang tempoh reman, undang-undang tidak membenarkan sebarang pengambilan keterangan lanjut dalam kapasiti yang sama — melainkan individu tersebut diklasifikasikan semula sebagai saksi, dan itu pun hanya dengan persetujuan serta kelulusan jelas daripada Timbalan Pendakwa Raya (TPR).
“Di bawah Akta SPRM dan prosedur undang-undang yang telah ditetapkan, adalah prinsip asas proses keadilan bahawa kuasa penangkapan hanya boleh digunakan apabila terdapat bukti yang mencukupi untuk menyokong pendakwaan secara rasmi.
“Tindakan menangkap individu sebelum siasatan diselesaikan sepenuhnya bukan sahaja tidak wajar, malah boleh melanggar prinsip kedaulatan undang-undang serta mencabuli asas keadilan,” kata Dzulkifli, yang mengetuai SPRM dari Ogos 2016 hingga Mei 2018.
Layanan sama terhadap Ismail Sabri, Vivy
Dia turut menggesa SPRM agar mengamalkan pendekatan yang sama rata dalam semua siasatan, termasuk dalam kes berprofil tinggi melibatkan bekas Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob dan usahawan Vivy Yusof.
Presiden Akademi Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Rasuah itu berkata, Ismail dan Vivy tidak pernah ditahan oleh SPRM walaupun mereka adalah suspek dalam kes rasuah, dan hanya dipanggil untuk memberi keterangan kepada penyiasat.

Dalam kes Vivy, tambahnya, wanita itu hanya dibawa ke mahkamah apabila pertuduhan difailkan terhadapnya.
“Rangkaian peristiwa dalam kes Pamela Ling, sekiranya benar, menimbulkan persoalan terhadap integriti prosedur dan kesahihan proses siasatan tersebut.
“Adalah amat penting agar semua agensi penguatkuasaan, termasuk SPRM, mematuhi prinsip proses keadilan serta perlindungan undang-undang yang termaktub dalam sistem perundangan Malaysia, bagi memastikan tiada hak individu dicabuli atas nama siasatan,” katanya.
Diculik individu berpakaian polis
Pada 2 Mei lalu, keluarga Ling mendedahkan bahawa wanita berusia 42 tahun itu, yang bergelar Datin Seri, dalam perjalanan untuk bertemu penyiasat SPRM pada 9 April bagi membantu siasatan berkaitan pengubahan wang haram, namun telah diculik sebelum sempat tiba ke lokasi berkenaan.
Pemandu Grab yang membawanya mendakwa kenderaan mereka dihentikan oleh individu berpakaian seragam polis, yang kemudian memaksa Ling keluar dari kereta dan mengarahkan pemandu itu menandakan perjalanan itu sebagai “selesai”.

Menurut laporan media, Ling telah diekstradisi dari Singapura awal tahun ini atas permintaan SPRM, di mana dia kemudiannya ditahan reman.
Ling juga telah dikenakan larangan ke luar negara dan dikatakan dipanggil berulang kali oleh SPRM untuk memberi keterangan tambahan selepas dibebaskan.
Peguam Sangeet Kaur Deo, yang mewakili keluarga Ling, mendedahkan bahawa mangsa telah memfailkan permohonan semakan kehakiman di Mahkamah Tinggi Malaya untuk mencabar tindakan SPRM.
Permohonan tersebut difailkan dua hari sebelum kejadian penculikan.
Menurut Sangeet, dalam permohonan itu, Ling mendakwa SPRM telah menyalahgunakan kuasa untuk menekannya bagi menyelesaikan pertikaian peribadi dengan bekas suaminya, dan bukannya untuk tujuan siasatan yang sah.
Ketua Pesuruhjaya SPRM, Azam Baki, bagaimanapun menafikan dakwaan tersebut.