KUALA TERENGGANU: Bekas bendahari Kesatuan Pekerja-Pekerja Pihak Berkuasa Tempatan Semenanjung Malaysia (Anulae) cawangan Terengganu didenda RM10,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini selepas mengaku bersalah terhadap dua pertuduhan menggunakan dokumen palsu, lima tahun lepas.
Jafri Wahab, 59, membuat pengakuan tersebut selepas kedua-dua pertuduhan pilihan tersebut dibacakan ke atasnya di hadapan Hakim Mohd Azhar Othman.
Mahkamah menjatuhkan hukuman denda RM5,000 atau penjara tiga bulan bagi setiap pertuduhan ke atas lelaki itu yang merupakan bekas penolong pegawai kesihatan persekitaran Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT).
Bapa tiga anak itu didakwa menggunakan dokumen palsu iaitu penyata akaun sebuah bank milik Anulae Cawangan Terengganu bagi tahun 2019 hingga 2020 sebagai tulen pada 28 Jun 2020 di MBKT.
Pertuduhan dikemukakan di bawah Seksyen 471 Kanun Keseksaan yang boleh dihukum di bawah Seksyen 465 kanun sama yang membawa hukuman penjara maksimum dua tahun, atau denda atau kedua-dua sekali
Selain itu, dia turut berhadapan 11 pertuduhan di bawah Seksyen 403 Kanun Keseksaan kerana menyalahgunakan wang tabung kebajikan Anulae Cawangan Terengganu berjumlah RM29,200 bagi tempoh Januari hingga Julai 2020, untuk kegunaan sendiri.
Namun, semua pertuduhan tersebut diambil pertimbangan (TIC) oleh mahkamah di bawah Seksyen 171A Kanun Tatacara Jenayah.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Rabiatul Addawiah Mohd Noorlee, Tengku Nurul Haziqah Tuan Yacob dan Pegawai Pendakwa Nur Raihan Mohd Yusof manakala Jafri diwakili peguam Mohd Asaari Salleh – BERNAMA