Malaysia Oversight

Bedah siasat Zara Qairina dilakukan empat pakar patologi

By MkiniBM in August 10, 2025 – Reading time 2 minute
Bedah siasat Zara Qairina dilakukan empat pakar patologi


Bedah siasat ke atas jenazah pelajar sekolah, Zara Qairina Mahathir, 13, yang kuburnya digali semalam, dilakukan di Hospital Queen Elizabeth I pagi tadi, kata peguam keluarga, Hamid Ismail.

Menurut Hamid, yang mewakili ibu Zara, prosedur bermula kira-kira jam 11.40 pagi oleh dua pakar forensik — Dr Jessie Hiu dan perunding patologi Dr Khairul Anuar Zainun dari Hospital Sultan Idris Shah — serta dibantu dua lagi anggota di bilik bedah siasat.

“Ia masih dijalankan dan dijangka selesai hari ini,” katanya sambil memaklumkan jenazah akan dikembalikan ke Sipitang untuk dikebumikan semula.

Hamid berkata demikian kepada pemberita selepas keluar dari Jabatan Forensik hospital.

Turut hadir memerhati proses itu ialah wakil keluarga, Shahlan, bersama jurugambar polis dan dua pegawai.

Hamid menyifatkan proses berkenaan sebagai “telus” dan memaklumkan dua imbasan CT — satu diambil sebelum pengebumian sebelum ini dan satu lagi pada Sabtu lalu— akan dihantar kepada pakar di Semenanjung untuk perbandingan.

Dia bagaimanapun enggan mengulas sama ada terdapat unsur jenayah, sambil menegaskan masih terlalu awal untuk membuat kesimpulan.

Menurutnya Dr Hiu akan memberi taklimat awal kepada keluarga, manakala laporan penuh akan dikeluarkan selepas analisis terperinci.

“Sama ada terdapat unsur jenayah atau tidak bergantung kepada siasatan lengkap,” katanya.

Tolak penyebaran video palsu

Hamid turut menafikan video tular yang kononnya menunjukkan Zara berada dalam tekanan emosi sebelum kematiannya.

“Itu bukan Zara. Saya harap netizen berhenti menyebarkan kandungan fitnah. Keluarga sudah berada dalam tekanan emosi yang teruk,” katanya.

Terdahulu, kira-kira 100 orang berkumpul di hadapan pejabat forensik di hospital berkenaan untuk menunggu proses bedah siasat. Dr Khairul tiba sekitar jam 10.55 pagi sambil disambut orang ramai yang sedang menunggu.

Zara, pelajar Tingkatan Satu di Papar, ditemui tidak sedarkan diri dalam longkang di bawah bangunan asrama sekolahnya pada 16 Julai lalu dan meninggal dunia keesokan harinya.

Keluargnya percaya kematian peljar itu berpunca daripada kes buli, manakala polis kini sedang menjalankan siasatan daripada pelbagai sudut.

Bedah siasat ini dilakukan selepas kuburnya digali di Sipitang pada Sabtu, di bawah kawalan ketat polis susulan perintah mahkamah untuk melakukan siasatan menyeluruh.

Pada 8 Ogos lalu, ribuan orang berhimpun di Lahad Datu, Tawau dan Sandakan bagi menyatakan solidariti dan menuntut keadilan untuk Zara.

Proses penggalian semula

Majistret Sipitang, Zuraini Ali Musa, mengeluarkan perintah penggalian kubur pada jam 2.30 petang dalam perbicaraan melalui Zoom di Ibu Pejabat Polis Daerah Papar.

Ia dibuat atas permintaan Jabatan Peguam Negara selepas meneliti laporan awal polis dan memutuskan pemeriksaan forensik lanjut diperlukan.

Sekitar jam 3 petang, kira-kira 100 orang termasuk ibu bapa, saudara mara, rakan dan kenalan Zara berkumpul di Tanah Perkuburan Tanjung Ubi, Mesapol.

Pada jam 5.30 petang, pegawai forensik dengan bantuan enam ahli kariah masjid memulakan kerja menggali kubur di bawah seliaan pegawai agama JHEAINS dan Pejabat Mufti Negeri.

Ibu bapa Zara serta orang ramai memerhati dari jarak kira-kira 100 meter. Kerja-kerja penggalian selesai pada jam 7.15 malam selepas sejam 45 minit.



Source link