Malaysia Oversight

Bedah siasat pelatih Palapes UTM: Dzulkefly digesa adakan siasatan

By MkiniBM in September 29, 2025 – Reading time 3 minute
Bedah siasat pelatih Palapes UTM: Dzulkefly digesa adakan siasatan


Menteri Kesihatan Dzulkefly Ahmad perlu mengadakan siasatan berhubung isu bedah siasat terhadap pelatih Pasukan Latihan Pegawai Simpanan (Palapes) Universiti Teknologi Malaysia (UTM) Skudai, Syamsul Haris Shamsudin, kata peguam yang mewakili ibu allahyarham.

Peguam Naran Singh berkata siasatan perlu dijalankan bagi menentukan sama ada terdapat salah laku dalam bedah siasat pertama terhadap mayat Syamsul yang melibatkan seorang pegawai perubatan (MO) dari Hospital Kota Tinggi, Johor.

“Saya meminta menteri kesihatan segera menjalankan siasatan, menjawab persoalan kami serta memaklumkan kepada umum apa yang telah berlaku.

“Jika beliau (Dzulkefly) memerlukan bantuan saya, saya sedia membantu, termasuk memberi bukti dokumentasi berhubung perkara yang berlaku,” kata Naran kepada Malaysiakini.

Pada Sabtu (27 Sept), Naran mendakwa ketua pengarah kesihatan Kementerian Kesihatan, Dr Mahathar Abd Wahab, berbohong.

Naran menolak kenyataan awal Mahathar bahawa bedah siasat pertama Syamsul tidak dijalankan oleh pegawai perubatan dari Hospital Kota Tinggi.

Menurut Naran, pegawai perubatan terbabit sebenarnya telah bersumpah melalui afidavit di Mahkamah Tinggi Shah Alam bahawa dialah yang menjalankan bedah siasat tersebut.

fd88977e26f57857cf5ff745f86828a5

Dalam afidavit bertarikh 21 Ogos yang dilihat Malaysiakini, pegawai perubatan Hospital Kota Tinggi menyatakan dia menjalankan bedah siasat dengan bantuan seorang pegawai perubatan dari Hospital Sultan Ismail.

Afidavit berasingan oleh pegawai perubatan Hospital Sultan Ismail bertarikh 21 Ogos juga menyatakan bahawa dia telah membantu seorang pegawai perubatan dari Hospital Kota Tinggi dalam bedah siasat itu.

Terdahulu pada hari yang sama, Mahathar berkata semua kes bedah siasat forensik diselia oleh pakar patologi forensik, sambil menegaskan bahawa bedah siasat terhadap jenazah Syamsul dilaksanakan mengikut prosedur forensik yang ditetapkan selepas mendapat arahan polis.

“Bedah siasat itu dilakukan oleh seorang pegawai perubatan di Jabatan Perubatan Forensik, Hospital Sultan Ismail, Johor, dan bukan oleh pegawai perubatan (dari) Hospital Kota Tinggi, Johor seperti yang didakwa,” kata Mahathar.

Sehari sebelumnya, Naran ketika bercakap dengan Malaysiakini menuntut penjelasan mengenai penglibatan seorang pegawai perubatan dalam bedah siasat yang dijalankan ke atas mayat Syamsul pada 29 Julai.

Jelas Naran, ibu Syamsul, Ummu Haiman Bee Daulatgun, sebelum ini menyatakan hasratnya agar pakar forensik menjalankan bedah siasat ketika mayat anaknya dibawa ke Hospital Kota Tinggi.

Bagaimanapun, Naran mendakwa meskipun Ummu sudah menyatakan hasrat itu, pegawai perubatan yang sama dari Hospital Kota Tinggi telah melakukan perjalanan sejauh 40km ke Hospital Sultan Ismail untuk menjalankan bedah siasat.

Syamsul, 22, meninggal dunia di Hospital Kota Tinggi pada 28 Julai lalu. Dia mengikuti latihan Palapes sebelum kematiannya.

Ummu mengesyaki terdapat unsur jenayah selepas melihat lebam dan mata berlumuran darah pada mayat Syamsul sebelum dikebumikan, yang menyebabkan dia membuat laporan polis.

Timbalan Ketua Polis Johor Abdul Latiff Mehat berkata pada 1 Ogos lalu bahawa polis sedang menyiasat kematian Syamsul.

Bagaimanapun, pada hari yang saam, Ketua Polis Daerah Kota Tinggi Yusof Othman berkata tiada unsur jenayah ditemui dalam kes itu, manakala Menteri Pertahanan Khaled Nordin berkata kementeriannya telah menubuhkan jawatankuasa untuk menyiasat kematian Syamsul.

Ummu kemudian memfailkan permohonan di Mahkamah Tinggi Shah Alam pada 14 Ogos bagi memohon kubur anaknya digali semula bagi melakukan bedah siasat kedua, serta mengadakan inkues kematiannya.

Pada 26 Ogos, pesuruhjaya kehakiman Bhupindar Singh Gurcharan Singh Preet membenarkan permohonan Ummu supaya kubur Syamsul digali dan bedah siasat kedua diadakan.

Pada 18 Sept lepas, Peguam Negara Dusuki Mokhtar berkata sebarang keputusan sama ada inkues akan diadakan berhubung kematian Syamsul akan dibuat selepas menerima laporan polis penuh termasuk laporan hospital mengenai bedah siasat kedua yang dijangka selesai dalam tempoh tiga bulan.



Source link