Pelbagai masalah yang timbul dalam negara, kata Abdul Hadi Awang, berpunca daripada kesilapan orang ramai mengundi pemimpin yang membawa bermacam-macam ciri “perosak.”
Presiden PAS itu menjelaskan, antara masalah akibat kesilapan memilih pemimpin itu ialah keadaan ekonomi yang menyusahkan serta inflasi.
“Apabila tangan salah mengundi pemimpin yang disifatkan dengan ciri-ciri perosak dalam senarainya, iaitu berpolitik dengan kebendaan (rasuah), menipu dengan janji-janji bohong, dan melobi diri menjadi pemimpin, maka datanglah kerosakan aqidah melalui fahaman liberalisme dan pluralisme serta politik sekular yang terpisah daripada agama dan turutannya,” kata Abdul Hadi.
Menjelaskan perkara itu dalam catatan di media sosial hari ini, Abdul Hadi mengulangi penegasannya bahawa umat Islam kini dilanda masalah sekularisme yang teruk sehingga membawa kepada terangkatnya pemimpin yang gagal mentadbir mengikut sempadan agama.
Tanpa menyebut sebarang nama, ahli politik berusia 77 tahun itu mendakwa pemimpin terbabit tidak memiliki kelayakan dari segi ilmu dan akhlak, selain berbohong serta didapati bersalah di mahkamah.
“Apabila dia memohon pengampunan, bermakna dia mengaku akan kesalahannya,” dakwa Abdul Hadi.
Keadaan itu, tambahnya, menyebabkan umat Islam ditimpa banyak kesusahan semasa di dunia sebelum diseksa di akhirat.
“Di samping itu, turut berlaku (masalah) ekonomi yang membebankan rakyat dengan inflasi disebabkan bergantung kepada jibayah (cukai), bukan hidayah yang memanfaatkan hasil dan sumber manusia.
“Demikian juga terjadi keruntuhan moral dengan kemunculan (isu) lesbian, gay, biseksual, dan transgender (LGBT) serta bertambahnya kadar kemungkaran yang lemah dicegah, diikuti dengan kemusnahan alam sekitar.
“Maka, muhasabah wajib dilakukan dengan mengubah kepada pemimpin yang benar-benar beriman dan budiman bersama ilmunya, bukan pemimpin yang berlagak,” katanya.