BELANJAWAN 2026 | Kerajaan akan menyalurkan bayaran Sumbangan Tunai Rahmah (STR) Fasa 4 tahun ini lebih awal sempena sambutan perayaan Deepavali.
Perdana Menteri Anwar Ibrahim mengumumkan perkara itu semasa membentangkan Belanjawan 2026 di Dewan Rakyat hari ini.
“Sukacita diumumkan, sempena perayaan Deepavali oleh kaum India, bayaran STR Fasa 4 2025 – yang dijadualkan untuk November dan bernilai RM2 bilion – diawalkan, dan disalurkan mulai 18 Okt.
“Kerajaan juga bersetuju meluluskan diskaun tol 50 peratus untuk dua hari sempena hari perayaan Deepavali,” katanya.
Anwar sempat mengungkapkan pesana dalam bahasa Tamil untuk menyampaikan mesejnya: “Kedum perukkamum illalla nenjaththuk, kotaamai saandrork kani” yang bermaksud “susah dan senang silih berganti, namun keteguhan hati nurani adalah mercu tertinggi kemuliaan insan.”
Anwar yang juga Ahli Parlimen Tambun menjelaskan, pada tahun ini kerajaan menyediakan RM13 bilion untuk STR dan Sumbangan Asas Rahmah (Sara) yang memanfaat hampir 9 juta penerima.
Bagi STR, katanya, bayaran sehingga fasa 3 telah dibuat dengan nilai 6 bilion ringgit.
Menjelaskan hal itu, Anwar berkata, penerima bantuan STR dan Sara daripada kaum Melayu meningkat daripada RM4.5 bilion pada 2022 kepada RM7.1 bilion pada tahun ini.
Untuk penerima bumiputera Sabah dan Sarawak pula naik daripada RM1.1 bilion kepada RM1.9 bilion, manakala bangsa India naik daripada RM0.6 bilion kepada RM1 bilion.






