Cadangan agar Nurul Izzah Anwar bertanding jawatan Timbalan Presiden PKR yang kini disandang Rafizi Ramli mampu membawa parti itu berdepan risiko besar sekiranya tidak ditangani secara teliti.
Felo Kerusi Institusi Raja-Raja Melayu Universiti Teknologi Mara (UiTM), Prof Jayum Jawan, berpendapat membawa Nurul Izzah bersaing untuk mengisi jawatan nombor dua parti – dan nombor dua bapanya – boleh dilihat sebagai cubaan menjadikan PKR sebagai parti keluarga.
Keadaan itu, katanya, sekali gus bercanggah dengan asas perjuangan reformasi yang dibawa Presiden PKR dan Perdana Menteri, Anwar Ibrahim.
Justeru, pada pandangan Jayum, mengheret Nurul Izzah agar mencabar Rafizi adalah satu kesilapan kerana boleh melemahkan minat orang ramai – termasuk dalam kalangan ahli parti – kepada PKR.
“Seruan agar Nurul Izzah bertanding adalah silap. Ia membuka ruang kepada persepsi kronisme. Ramai mungkin akan meninggalkan parti kerana kecewa dengan hal ini.
“Anwar sendiri pernah menolak kronisme sebelum menjadi kerajaan. Jika ini berlaku, ia ibarat meludah ke langit,” katanya kepada Malaysiakini.
Jayum menambah, walaupun dari segi hak Nurul Izzah layak bertanding, namun langkah itu membayangkan kurangnya kepelbagaian pandangan dalam parti.
Katanya, ia juga memberi peringatan kepada PKR agar mereka tidak mengkritik parti lain dengan tuduhan mengamalkan kronisme.
Siapa lagi kalau bukan Nurul Izzah
Sejak semalam seruan agar Nurul Izzah menawarkan diri bertanding jawatan timbalan presiden mula disuarakan pelbagai pihak dengan kebanyakannya menyatakan sokongan.
Nurul Izzah, 44, merupakan salah seorang naib presiden parti itu sekarang.
Jawatan timbalan presiden kini diisi Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli.
Kedudukan nombor dua parti sering menjadi perhatian kerana lazimnya penyandang merupakan bakal pemimpin nombor satu sesebuah parti. Dalam konteks semasa, ia memungkinkan penyandang jawatan presiden dilantik sebagai perdana menteri.
Pemerhati politik, Faizal Kasmani, pula berpendapat Nurul Izzah memang mempunyai kredibiliti dan pengalaman tersendiri dalam arena politik, justeru layak untuk mencuba nasibnya bertanding dalam pemilihan kali ini.

Namun dia mengakui langkah tersebut mungkin mengundang kritikan daripada pihak luar yang membawa naratif faktor kekeluargaan.
“Layak atau tidak Izzah bertanding melawan Rafizi bukan ditentukan orang luar, sebaliknya oleh ahli-ahli PKR sendiri. Siapa lagi kalau bukan Nurul Izzah?
“Beliau calon yang sesuai, dan PKR cukup matang untuk buat keputusan ini. Tidak adil kaitkan beliau sebagai anak perdana menteri,” ujarnya.
Pandangan senada turut dikongsi Pengarah Pusat Penyelidikan Dasar Universiti Sains Malaysia (USM), Azeem Farouk, yang menekankan bahawa tiada salahnya seseorang individu bertanding sekiranya mempunyai kekuatan dalam parti dan memenuhi syarat yang diperlukan.
Pada masa sama dia mengakui dari segi kelaziman, ia sebaiknya dielakkan.
“Tetapi semuanya bergantung kepada penerimaan ahli parti.
“Jika Nurul Izzah menang, ini akan jadi kali pertama dalam sejarah politik Malaysia bapa dan anak memegang jawatan presiden dan timbalan presiden parti.
“Ahli-ahli perlu bijak menilai sama ada ini mendatangkan manfaat atau mudarat kepada parti,” jelasnya.

Pemilihan PKR bagi jawatan peringkat pusat akan diadakan 23 Mei ini.
Menjelang detik penting itu, PKR dibayangi dakwaan proses pemilihan di peringkat akar umbi dipengaruhi oleh faktor tertentu apabila beberapa nama besar gagal mempertahankan jawatan masing-masing.
Misalnya Naib Presiden PKR, Nik Nazmi Nik Ahmad, gagal mempertahankan jawatan ketua cabang apabila kalah kepada Afdlin Shauki di Setiawangsa.
Seorang lagi tokoh yang dilihat dekat dengan Rafizi dan kalah ialah Ahli Parlimen Johor Bahru merangkap Timbalan Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air, Akmal Nasir.
Di tengah kontroversi itu Rafizi dilaporkan bercuti sekali gus mengundang pelbagai spekulasi terhadap hubungan antara pemimpin kanan PKR.
Bagaimanapun Ahli Parlimen Pandan itu dilaporkan kembali bertugas hari ini.