ULASAN | Media melaporkan bahawa Perdana Menteri Anwar Ibrahim di Parlimen menyatakan bahwa Kabinet memutuskan untuk tidak mengambil tindakan undang-undang terhadap bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad berhubung isu Pulau Batu Puteh atas faktor usianya yang sudah lanjut.
Perdana Menteri berkata demikian ketika menjawab soalan Ahli Parlimen Kota Bharu Takiyuddin Hassan.
Perdana Menteri juga dilaporkan berkata Kabinet turut mengambil kira status Mahathir sebagai bekas Perdana Menteri.
Selanjutnya, dia juga berkata “ adakah dia tak salah (dalam isu Pulau Batu Puteh)? Dia salah.”
Dengan penuh hormat saya merasakan ada beberapa kesilapan yang tidak perlu telah dilakukan oleh Perdana Menteri dalam jawapannya itu. Mungkin tidak disengajakan tetapi kesilapan itu, bagi saya, tidak sepatutnya berlaku.
PM buat kesilapan besar
Mari kita bermula dengan perkara asas dahulu. Isu pendakwaan jenayah ke atas mana-mana individu dalam negara ini bukan tugas dan tanggungjawab Kabinet. Ia adalah tugas dan tanggungjawab Peguam Negara di bawah Perkara 145 Perlembagaan Persekutuan.
Justeru itu, bagi saya, dengan penuh hormat, Perdana Menteri telah membuat kesilapan besar dalam jawapannya di Parlimen itu.
Jawapan itu secara tersirat menggambarkan semacam ada campur tangan eksekutif ke atas Jabatan Peguam Negara (AGC), meskipun Perdana Menteri berulang kali sebelum ini mengatakan dia tidak pernah campur tangan tugas dan urusan Peguam Negara.
Lebih malang lagi Perdana Menteri kelihatan begitu yakin berkata, seperti dilapor dalam media, ” Apakah dia (Mahathir) tak salah (dalam isu Pulau Batu Puteh)? Dia salah”.
Isu sama ada Mahathir bersalah atau tidak bersalah bukan Perdana Menteri atau Kabinet yang tentukan. Ia juga bukan tugas Peguam Negara. Peguam Negara hanya memutuskan untuk mendakwa seseorang jika dia berpuas hati yang ada merit untuk pendakwaan.
Tugas menentukan salah atau tidak salah adalah tugas para hakim sepenuhnya, itu pun jika wujudnya pendakwaan dan perbicaraan. Begitulah proses undang-undang jenayah dalam negara ini.
Mungkin Perdana Menteri tidak sedar apabila dia berkata Mahthir telah bersalah, ia membawa persepsi ini: maknanya dia telah mendahului proses mahkamah dan tugas para hakim.
Dan seandainya ada pendakwaan untuk kes ini, ia akan hanya menyukarkan kerja peguam negara.
Kesimpulannya Perdana Menteri, dengan hormat, telah melakukan kesilapan besar dalam hal ini.
Biar menteri jawab
Sejujurnya saya tidak pasti adakah dia telah dinasihati oleh mana- mana peguam kerajaan atau menteri undang-undang semasa memberi jawapan di atas. Dengan isu kehakiman yang belum pulih sepenuhnya, Perdana Menteri sewajarnya lebih berhati-hati dalam isu perundangan.
Bagi saya, jawapannya lebih kepada jawapan politik berbanding jawapan yang berasaskan undang- undang.
Nasihat kecil saya dalam isu macam ini mungkin – lebih baik dan elok menteri undang-undang yang perlu jawab dan bukannya Perdana Menteri.
Adakah ini bermakna Kabinet tidak boleh langsung membincangkan isu ini? Sudah tentu boleh. Tetapi isunya di sini bukan mengenai perbincangan di Kabinet, tetapi jawapan Perdana Menteri yang bagi saya, dengan hormat, ada unsur cuai dan culas.
Jika saya ditakdirkan menasihatinya untuk menjawab soalan itu, saya mungkin akan nasihat agar dia menjawab begini:
“Terima kasih di atas keprihatinan YB Kota Bharu dalam isu ini. Untuk makluman YB, isu ini memang ada dibincangkan di dalam Kabinet. Tetapi saya ingin tegaskan saya atau kerajaan tidak mahu campur tangan dalam isu ini.
“Kita serahkan sepenuhnya kepada budi bicara Peguam Negara, sepertimana yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan untuk dia putuskan sama ada ingin atau tidak ingin mendakwa Mahathir.”
MOHAMED HANIPA MAIDIN adalah bekas timbalan menteri undang- undang.
Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.