Pelakon popular Redza Rosli, 33, mengakui prinsip hidupnya banyak dipengaruhi oleh pesanan bapanya yang sentiasa mengingatkan dirinya supaya tidak menyusahkan orang lain.
Walaupun kedengaran ringkas, pesanan itulah yang dipegangnya sejak kecil hingga kini, bukan sahaja menjadi amalannya dalam dunia kerjaya tetapi juga dalam kehidupan seharian.
Bagu Redza, ia menjadi benteng dan panduan buatnya dalam menyusun atur langkah di pentas seni.
“Dari sekolah lagi, bapa saya selalu ajar supaya jadi orang yang berguna untuk masyarakat. Jangan susahkan mak ayah, jangan susahkan orang lain.
“Sebab itu setiap kali saya dapat peluang, saya akan buat yang terbaik. Hari ini dapat kerja, saya buat sebaik mungkin sebab esok belum tentu ada kerja lagi,” katanya.
Disebabkan itu, Redza juga menafikan dakwaan sesetengah pihak kononnya dia senang hati dan goyang kaki sahaja menanti tawaran daripada pihak TV3 berikutan dilayan seperti anak emas.
Tidak perlu tertunggu-tunggu ‘job’, tidak kenal apa itu bergelut mencari tawaran kerja lakon, semua itu bagi Redza adalah satu tuduhan tidak berasas.
Jelas Redza, selama ini, dia tidak pernah sekali pun meminta-minta kerja daripada pihak stesen televisyen itu.
“Saya nak jelaskan pada netizen, saya tak pernah minta job dari TV3, tak pernah kata saya anak emas TV3. Saya tak pernah melutut atau pergi minta kerja.
“Rezeki yang datang, itu ketentuan Allah. Tugas saya cuma buat yang terbaik bila peluang itu ada,” tegasnya.
Kongsi pelakon ini lagi, perjalanan dalam dunia seni juga tidak membuatkannya mampu lari daripada cabaran.
Namun, kata Redza, dia memilih untuk menumpukan sepenuhnya pada kerja dan mengelak gangguan yang boleh menjejaskan fokus.
“Dalam kerjaya ini, ada macam-macam benda boleh kacau. Boleh jadi masa muda, kita suka melepak, enjoy, hanyut dengan cinta monyet.
“Masa muda saya pun pernah rasa semua itu, tapi saya cepat sedar. Saya pilih untuk kerja sahaja. Apa yang kita buat ini bukan saja refleks diri kita, tapi juga masyarakat.
“Contoh, drama-drama curang keluar dalam drama Melayu, benda itu boleh jadi ikutan atau refleksi keliling kita, masyarakat kita. Kalau kita tak jaga benda ini satu hari nanti kalau kita buat hal, benda itu akan refleks balik pada diri kita.
“Lima tahun akan datang, sepuluh tahun akan datang. Walaupun kita dah berubah jadi baik, alim ke apa ke, tapi cerita lama yang buruk itu akan lebih orang nampak daripada kebaikan kita sekarang. Itu lumrah manusia, orang lebih suka menilai keburukan daripada kebaikan,”ujarnya.
Tak salah bertanya ‘job’
Mengulas tentang isu pelakon melobi diri untuk mendapatkan tawaran kerja lakon, Redza berpendapat tiada salahnya mereka mencari peluang dengan menghubungi pihak produksi secara terus.
“Kalau ada pelakon baru nak DM, nak tanya job, itu usaha. Sama macam kita minta kerja di kedai atau restoran atau di mana-mana sahaja. Saya dulu pun buat uji bakat sampai 10 kali, kadang satu pun tak dapat.
“Tapi sekali dapat, itu hasil usaha kita. Tak salah pun nak cari peluang. Tentulah dia nak peluang, dia nak kerja. Niat dia baik ke tak baik, itu belakang cerita. Manusia sepatutnya lebih terbuka, bagi peluang kepada mereka yang mencari.
“Tetapi apa cara pun, itu usaha kita. Kita semua ada telefon bimbit, tak akan nak duduk diam. Kita kena berkomunikasi, apa lagi untuk cari kerja. Bermakna kita memang nak kerja bukan tak ada usaha,”katanya.
Mengakui bahawa dia tidak begitu arif tentang isu sebenar yang menjadi topik dalam industri, Redza memilih untuk tidak menghakimi sesiapa sahaja yang sedang berdepan dengan masalah itu.
“Saya tak kenal pelakon yang menyuarakan hal ini secara peribadi. Mungkin dia pernah kecewa sebab orang sindir dia tak dapat job atau apa. Kita pun tak tahu apa kisah sebenar.
“Mungkin dia pernah buat silap, mungkin orang iri hati. Kita hidup zaman fitnah, macam-macam orang boleh kata walaupun kita tak buat,” katanya.
Redza menambah, dalam industri seni, menjaga hubungan sesama orang industri adalah penting kerana konflik kecil boleh memberi kesan jangka panjang.
“Kalau gaduh dengan orang, cerita itu akan tersebar. Sebab itu saya selalu pegang prinsip, kau buat kerja kau, aku buat kerja aku. Jangan susahkan produksi. Kalau kena shooting sampai 3 atau 4 pagi pun saya sanggup, asalkan jangan melambatkan orang lain.
“Kena ingat, kadang- kadang kita di atas, kadang-kadang di bawah. Tapi kita kena sentiasa merenda diri. Kalau kita tolong orang, orang akan tolong kita balik.
“Rezeki itu Allah gandakan dalam pelbagai bentuk, boleh jadi aspek kesihatan, pekerjaan, macam-macam. Jadi jangan pernah menyusahkan orang lain, itulah yang saya katakan dari awal, sebagaimana pesan bapa saya,”tegasnya.