Nota editor: Tajuk dan berita ini telah dikemas kini selepas Malaysiakini difahamkan debat antara ketua pemuda Umno dan aktivis mahasiswa belum dibatalkan.
Debat yang dijadualkan berlangsung antara Dr Akmal Saleh dan aktivis mahasiswa masih belum dapat disahkan selepas bapa ketua pemuda Umno itu dilaporkan nazak.
Dalam satu kenyataan malam ini, Sekretariat Rakyat Benci Rasuah berkata mereka menghormati situasi tersebut dan akan memberi ruang kepada Akmal untuk menumpukan perhatian kepada keluarganya.
“Buat masa ini, kami masih belum menerima pengesahan daripada pihak saudara Akmal sama ada debat yang dirancang akan diteruskan atau ditangguhkan.
“Sekretariat akan memaklumkan sebarang perubahan atau perkembangan berkaitan debat ini secara rasmi dari semasa ke semasa,” tambah kenyataan itu.
Sekretariat itu turut menzahirkan simpati kepada Akmal dan keluarganya serta meminta orang ramai untuk mendoakan segala urusan keluarga Akmal dipermudahkan dan diberi kekuatan.
Debat tersebut pada asalnya dijadualkan berlangsung 9 malam esok di Rumah Mandiri, Petaling Jaya, di mana Akmal dijadual bersemuka dengan aktivis mahasiswa Fakrurrazzi Khairur Rijal dalam debat bertajuk “Demonstrasi Bakar-Membakar: Bebal atau Berakal.”
Cabaran debat
Akmal mencabar kumpulan mahasiswa berkenaan berdebat susulan satu protes yang berlangsung di Sabah pada 22 Jun lalu yang berakhir dengan tindakan membakar poster Perdana Menteri Anwar Ibrahim, bersama kata-kata “Madani pelindung perasuah Sabah.”

Dia menggelar para mahasiswa itu sebagai bodoh dan kurang ajar, serta menggesa mereka yang dahulu pernah marah apabila imej pemimpin mereka dihina agar turut berbuat demikian kali ini.
Fakrurrazzi menerima cabaran tersebut dan turut mencabar Ketua Pemuda PKR (AMK), Kamil Abdul Munim – yang turut mengkritik insiden pembakaran karikatur tersebut– supaya bersemuka dengan peserta perhimpunan berkenaan dalam satu debat.
Namun malam tadi, Akmal memuat naik kenyataan di media sosialnya dengan mengatakan bahawa bapanya sedang berada dalam keadaan nazak.
“Saya mohon kepada semua sahabat yang mengenali ayah untuk doakan dan saya mohon ampun dan maaf bagi pihak ayah jika ayah ada terguris perasaan ketika ayah sihat.
“Mohon ampunkan salah silap ayah dan mohon doakan ayah ya,” katanya.