Malaysia Oversight

Bapa Khai Bahar meninggal dunia pada usia 66 tahun

By Utusan in September 20, 2025 – Reading time 2 minute


PETALING JAYA: Penyanyi, Khai Bahar, sekali lagi diuji dengan kehilangan apabila bapanya, Baharuddin Backri, 66, dilaporkan telah menghembuskan nafas terakhir sekitar pukul 9:30 malam pada Jumaat.

Menerusi perkongsian pengurus kepada penyanyi Luluh itu, Mohammed Rizal Mohammed Yasin, Allahyarham Baharuddin meninggal dunia akibat komplikasi penyakit kencing manis, stok dan buah pinggang.

“Pak Bahar, ayah kepada Khai Bahar, telah kembali ke rahmatullah di Hospital Tunku Fauziah, Kangar sekitar jam 9.30 malam pada 19/9/25.

“Dimaklumkan bahawa jenazah Allahyarham Pak Bahar akan dimandi dan dikafankan di Masjid Al-Arifin, Padang Katong, Perlis.

“Solat jenazah akan dilaksanakan selepas solat Zohor di masjid yang sama dan seterusnya dikebumikan di Tanah Perkuburan Tok Paduka,” tulisnya menerusi  Whatsapp.

Dalam pada itu, menerusi hantaran di media sosial, Khai atau Muhammad Khairul Baharuddin, 31, sempat menitipkan ucapan terima kasih kepada orang ramai yang mendoakan arwah bapanya.

“Terima kasih semua atas doa. Insya-Allah arwah bapa saya akan dikebumikan selepas Zohor,” tulisnya ringkas.

Terdahulu, Khai kehilangan ibu tercinta, Allahyarhamah Rosnah Muhammad pada 2 Januari 2024 akibat komplikasi buah pinggang.

Penyanyi itu meluahkan rasa rindu terhadap ibu terutama semasa menyambut ulang tahun kelahirannya dan berpuasa. -UTUSAN





Source link