Seorang juruteknik barangan elektrik dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Ayer Keroh, Melaka atas 52 pertuduhan melakukan sumbang mahram, amang seksual fizikal dan serta merakam video berunsur pornogafi anak kandungnya sejak Mei lalu.
Bagaimanapun lelaki berusia 41 tahun itu mengaku tidak bersalah terhadap semua pertuduhan yang dikemukakan terhadapnya.
Kesalahan itu didakwa dilakukan ke atas anak perempuan tertuduh – yang berusia 18 tahun – di sebuah rumah di Taman Tambak Paya Harmoni, Melaka Tengah.
Ia didakwa berlaku antara 12 Mei hingga 6 Ogos lalu sekitar jam 6.50 pagi hingga 7.15 pagi.
Dia berdepan 17 pertuduhan mengikut Seksyen 376B Kanun Keseksaan (melakukan sumbang mahram) yang membawa hukuman penjara tidak kurang 10 tahun dan maksimum 30 tahun serta sebatan, jika sabit kesalahan.
Bagi 34 pertuduhan lain, lelaki terbabit didakwa mengikut Seksyen 14(b) dan 14(a) Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak (AKSTK) 2017 yang dibaca bersama Seksyen 16(1) akta yang sama.
Kesalahan itu membawa hukuman penjara sehingga 20 tahun dan sebatan, manakala Sesyen 16(1) AKSTK 2017 pula memperuntukkan penjara tidak melebihi lima tahun serta sekurang-kurangnya dua sebatan.
Lelaki itu juga didakwa membuat pornografi kanak-kanak dengan merakam dua keping gambar anak kandungnya itu dalam keadaan tidak berpakaian di dalam bilik air di lokasi yang sama pada 9 Julai lalu.
Dia didakwa di bawah Sekyen 7 AKSTK 2017.
Jika disabitkan kesalahan itu, lelaki terbabit berdepan hukuman penjara selama tidak melebihi 20 tahun dan hendaklah juga dihukum dengan hukuman sebat tidak kurang daripada lima sebatan.
Pihak pendakwaan yang diketuai Muhamad Ehsan Nasarudin mencadangkan jaminan RM20,000 bagi setiap pertuduhan dengan syarat tambahan termasuk larangan menganggu mangsa dan saksi, melaporkan diri ke balai polis berhampiran setiap dua minggu dan menyerahkan pasport kepada mahkamah.
Tertuduh yang tidak diwakili peguam pula memohon jaminan lebih rendah atas faktor kewangan, selain memaklumkan isterinya mengalami kemurungan akibat kes itu dan terpaksa menjual rumah serta kereta jika perlu membayar kos guaman.
Hakim Haderiah Siri kemudian mengarahkan tertuduh diikat jamin keseluruhan RM90,000 bersama syarat tambahan seperti dipohon pihak pendakwaan.
Hakim juga menetapkan 18 Sept sebagai tarikh sebutan semula kes bagi serahan dokumen dan lantikan peguam.
– Bernama