Malaysia Oversight

Bantuan iSejahtera nak dipotong, MCA tuntut penjelasan Pulau Pinang

By MkiniBM in May 9, 2025 – Reading time 2 minute
malaysiakini logo


MCA mempersoalkan apakah laporan mengenai pemotongan bantuan iSejahtera di Pulau Pinang menandakan negeri sedang menghadapi krisis kewangan.

Naib Presiden MCA, Tan Teik Cheng meminta Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow supaya menjelaskan sama ada laporan berita mengenai pengurangan bantuan iSejahtera dan kenaikan had umur kelayakan adalah benar.

“Jika laporan ini benar, maka Chow perlu menjelaskan sama ada negeri Pulau Pinang sememangnya sedang menghadapi masalah kewangan.

“Jika tidak, mengapa kebajikan rakyat Pulau Pinang dikorbankan pada waktu kos barangan semakin meningkat?” kata Tan dalam satu kenyataan hari ini.

Terdahulu, New Straits Times melaporkan bahawa Chow berkata negeri sedang mempertimbangkan semakan semula terhadap program kebajikannya, khususnya iSejahtera.

Dia menjelaskan langkah itu dibuat berikutan peningkatan kos dan keperluan untuk menyasarkan penerima bantuan dengan lebih berkesan.

b982eaccd190ef92e7e35318f291e323

Kata Chow, program iSejahtera memerlukan sokongan kewangan yang kukuh untuk diteruskan memandangkan ia melibatkan perbelanjaan yang besar.

Chow turut memaklumkan bahawa inisiatif baru mungkin akan diperkenalkan.

Bagaimanapun, Tan menyifatkan langkah tersebut sebagai satu tamparan kepada warga emas yang kini sedang bergelut dengan peningkatan kos sara hidup.

“Menurut laporan media, rizab kerajaan negeri pada tahun 2018 adalah sebanyak RM1.8 bilion, namun selepas hanya tujuh tahun, ia tinggal RM50 juta sahaja.

“Dalam keadaan kerajaan negeri mempunyai pelbagai sumber hasil cukai, bagaimana rizab tersebut boleh hampir habis dalam tempoh yang begitu singkat? Sehingga bantuan untuk warga emas pun terpaksa dikorbankan?” katanya.

Dia berkata langkah penjimatan sepatutnya dimulakan di sektor lain terlebih dahulu, seperti mengurangkan perbelanjaan pentadbiran yang tidak perlu dan membazir.

Chow sebelum ini menjelaskan bahawa kos program iSejahtera meningkat setiap tahun kerana jumlah pendaftaran, khususnya dalam kalangan warga emas, terus bertambah.

Namun dia menegaskan bahawa program itu tidak akan dihentikan sepenuhnya, sebaliknya bantuan akan disesuaikan dan diagihkan semula mengikut keperluan.



Source link