Semenjak Tun Tengku Maimun Tuan Mat membangkitkan isu campur tangan politik dalam pelantikan Hakim sehingga mencadangkan perdana menteri (PM) tidak diberi sebarang peranan dalamnya, badan-badan bukan kerajaan, Majlis Peguam, ahli-ahli politik, orang ramai nampak seperti sebulat suara menyokongnya.
Mereka menyokong cadangan menghapuskan peranan perdana menteri dalam pelantikan hakim, seolah-olah perdana menteri tidak ada cara lain untuk meletakkan calon pilihannya. Serahkan kepada orang politik, apatah lagi seorang perdana menteri dan lihatlah apa yang dilakukan mereka.
Saya tidak percaya ada perdana menteri yang akan pergi ke parlimen untuk membuat undang-undang memotong namanya sendiri dalam urusan sepenting itu. Jika undang-undang seperti itu berjaya diadakan sekalipun, ia tidak bererti pengaruh perdana menteri akan luput. Lagi pula, tanpa peranan perdana menteri, mungkin ketua hakim negara (KHN) yang akan melantik orangnya mengisi jawatan-jawatan itu.
Di antara penyokong-penyokong itu terdapat mantan-mantan perdana menteri. Malah, Dr Mahathir Mohamad turut mempengerusikan satu persidangan meja bulat yang meluluskan resolusi menyokong cadangan itu.
Kebocoran minit mesyuarat Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman (SPK) menampakkan seolah-olah kesalahan tertumpu kepada perdana menteri kesepuluh atau PMX Anwar Ibrahim.
Maka, Majlis Peguam pun mengadakan tunjuk perasaan besar-besaran membantahnya. Apabila PMX memberitahu pemberita bahawa senarai nama calon-calon itu dikemukakan kepada Majlis Raja-Raja (MRR), bahawa nama Ahmad Terrirudin Mohd Salleh tidak ada dalam senarai itu dan nama calon yang terpilih akan diisytiharkan esoknya, penunjuk perasaan gembira: mereka menang!
Pada 17 Julai 2025, Pejabat Ketua Pendaftar, Mahkamah Persekutuan mengeluarkan kenyataan media, antara lain, mengatakan bahawa, atas nasihat perdana menteri dan setelah berunding dengan MRR, Yang di-Pertuan Agong (YDPA) melantik Wan Ahmad Farid Wan Salleh sebagai ketua hakim negara, Abu Bakar Jais sebagai presiden Mahkamah Rayuan dan Datuk Azizah Nawawi sebagai hakim besar (Sabah dan Sarawak).
(Dalam rencana ini saya akan membincang pelantikan Wan Ahmad Farid sebagai ketua hakim negara sahaja).
Perkataan yang digunakan dalam kenyataan ini adalah peruntukan perlembagaan mengenai pelantikan hakim. Bahawa kenyataan itu dibuat oleh Pejabat Ketua Pendaftar, Mahkamah Persekutuan adalah suatu yang betul. MRR hanya perlu dirunding. Pendapatnya tidak perlu diikuti. Yang di-Pertuan Agong (YDPA) dikehendaki mengikuti nasihat perdana menteri. Tidak ada sebab mengapa MRR patut mengisytiharkannya.
Latar belakang Wan Farid
Maka pengerusi Majlis Peguam pun mengeluarkan kenyataan menyambut baik pelantikan itu, mengucapkan tahniah kepada Wan Ahmad Farid, memujinya kerana menarik diri daripada membicarakan permohonan queen’s council dalam kes Najib Razak.
Beliau tertarik dengan beberapa petikan dalam penghakimannya mengenai kebebasan mahkamah dan memuji wataknya. Kumpulan Islam pula memujinya kerana keputusannya dalam kes Sisters In Islam (SIS) dan kes Loh Siew Hong. Di Dewan Rakyat ada beberapa orang anggota parlimen yang kurang senang kerana latar belakang politiknya.
Mari kita imbaskan latar belakangnya. Beliau berasal dari Terengganu, berkelulusan undang-undang dari University of West London.
1987 – 2003: peguam dan peguam Syarie di Kuala Terengganu
2003 – 2008: Setiausaha politik perdana menteri
2008 – 2009: Senator dan timbalan menteri dalam negeri
2009: Bertanding kerusi parlimen Kuala Terengganu, kalah kepada calon PAS
2011 – 2015: Peguam di Kuala Lumpur
16 Dis 2015: Pesuruhjaya Kehakiman, umur 52
8 Ogos 2019: Hakim Mahkamah Tinggi
12 Nov 2024: Hakim Mahkamah Rayuan
18 Julai 2025: Ketua hakim negara, umur 62 tahun
Biarlah saya sebut terlebih dahulu bahawa saya tidak mengenali atau mengetahui beliau, tidak pernah melihat wajah beliau atau mendengar nama beliau. Saya tidak tahu prestasi beliau sebagai seorang peguam mahupun sebagai seorang pesuruhjaya kehakiman dan hakim.
Saya juga tidak menyentuh mengenai meritnya. Tiada siapa pun menyebut mengenainya. Malah namanya pun tidak pernah disebut. Maka, analisis ini semata-mata berdasarkan sembilan baris fakta di atas dan pengalaman saya.
Beliau memulakan kerjayanya sebagai peguam dan peguam Syarie di Terengganu selama 16 tahun. Dengan hormat, pengalaman yang boleh ditimba di Terengganu berbanding seorang peguam yang bekerja di firma besar di Kuala Lumpur, misalnya, tidaklah sama. Tambahan lagi, dalam tempoh itu, beliau aktif dalam politik. Saya percaya beliau menjadi peguam sebagai batu loncatan kepada politik.
Kerana perancangannya tidak menjadi, selepas 16 tahun, beliau meninggalkan firmanya dan berpindah ke Kuala Lumpur. Menjadi setiausaha politik perdana menteri, membuka jalan pintas ke arena politik. Nampaknya seperti perkiraannya akan menjadi. Tetapi, kekalahannya di tangan PAS dalam pilihan raya kecil parlimen Kuala Terengganu, kedudukan Umno yang semakin lemah di Terengganu dan pengunduran Abdullah Ahmad Badawi sebagai perdana menteri ibarat pukulan paku terakhir kepada cita-cita politik beliau.
Kembali jadi peguam
Maka, dari 2011 hingga 2015, beliau kembali menjadi peguam, kali ini di Kuala Lumpur. Kemudian, pada 16 Dis 2015 beliau menjadi pesuruhjaya kehakiman, pada umur 52 tahun.
Apakah yang berkemungkinan menyebabkan seorang yang bercita-cita menjadi seorang ahli politik, malah disebut-sebut sebagai bakal menteri besar Terengganu dan pernah menjadi senator dan timbalan menteri, sanggup menjadi pesuruhjaya kehakiman dengan kontrak dua tahun?
Saya fikir jawatan itu bukanlah jawatan pilihannya, tetapi jawatan tanpa pilihan dalam keadaan terdesak. Beliau gagal dalam politik dan sebagai seorang peguam. Itu sahajalah pilihan terbaik yang ada.
Soalan berikutnya, mengapa beliau mengambil masa selama empat tahun sebagai pesuruhjaya kehakiman sebelum dilantik menjadi hakim Mahkamah Tinggi?
Seorang pesuruhjaya kehakiman dilantik dengan kontrak dua tahun. Jika prestasinya mencapai tahap yang dikehendaki, sebelum tamat tempoh dua tahun, beliau akan dilantik menjadi hakim Mahkamah Tinggi. Jika tidak dan tidak ada masalah lain, perkhidmatannya disambung setahun lagi untuk memperbaiki prestasinya.
Sepanjang ingatan saya, adalah amat jarang seorang pesuruhjaya kehakiman akan disambung perkhidmatannya sehingga empat tahun. Jika tiga tahun masih tidak layak, beliau terpaksa mencari kerja lain. Saya tidak tahu apa yang sebenarnya berlaku dalam hal ini.
Nasib beliau baik, beliau dilanjutkan kontraknya sehingga empat tahun dan sebelum tamat tempoh itu beliau dilantik menjadi hakim Mahkamah Tinggi. Lima tahun kemudian beliau dilantik menjadi hakim Mahkamah Rayuan. Ini bolehlah dikatakan dalam keadaan biasa, pada masa itu apatah lagi jika diambil kira tempoh empat tahun beliau menjadi pesuruhjaya kehakiman dan menjalankan kerja yang serupa.
Saya percaya beliau sudah amat bersyukur sampai ke situ dalam kerjaya kehakimannya. Dalam keadaan biasa, beliau bolehlah berharap untuk bersara sebagai hakim Mahkamah Persekutuan. Itu sudah cukup baik.
Tetapi, lapan bulan kemudian, tiba-tiba, beliau dilantik menjadi ketua hakim negara. Bayangkan, dari segi protokol, beliau berada selepas timbalan perdana menteri. Beliau akan dianugerah gelaran “Tun” yang beliau tidak boleh mimpikan dalam kerjaya politik.
Saya tidak fikir beliau pernah terfikir keputusannya untuk memohon menjadi pesuruhjaya kehakiman akan membawanya sejauh itu, apatah lagi setelah tersangkut sebagai pesuruhjaya kehakiman selama empat tahun. Saya percaya Wan Ahmad Farid sendiri tidak tergamak untuk menadah tangan berdoa untuk menjadi pengganti Tengku Maimun.
Tak pernah berlaku dalam sejarah
Perhatikan ironinya dalam peristiwa ini. Bantahan terhadap campur tangan politik oleh perdana menteri dalam pelantikan hakim berakhir dengan mantan setiausaha politik perdana menteri dilantik menjadi KHN. Tidak pernah berlaku dalam sejarah Malaysia seorang hakim Mahkamah Rayuan dilantik terus menjadi KHN.
Selepas bocornya minit mesyuarat SPK, kemarahan orang ramai tertumpu kepada PMX kerana cuba melantik Terriruddin menjadi KHN. Apabila Wan Ahmad Farid dilantik, semua pihak yang membantah menyambut baik. PMX menjadi wira.
Dulu, kita terkejut dengan pelantikan Tengku Maimun. Sekarang kita terima kejutan yang lebih besar. Jika Tengku Maimun dilantik semasa beliau baru menjadi hakim Mahkamah Persekutuan selama lima bulan, Wan Ahmad Farid dilantik selepas lapan bulan menjadi hakim Mahkamah Rayuan.
Di Mahkamah Rayuan, mengikut semakan dalam Current Law Journal, beliau baru menulis empat penghakiman, semuanya kes sivil. Jika Tengku Maimun belum pernah mempengerusikan persidangan Mahkamah Persekutuan sebelum dilantik menjadi KHN, Wan Ahmad Farid belum pun pernah mempengerusikan persidangan Mahkamah Rayuan, malah tidak pernah duduk di Mahkamah Persekutuan.
Jika Tengku Maimun menghabiskan keseluruhan kerjayanya dalam perkhidmatan kehakiman dan perundangan menjalankan kerja berkenaan undang-undang sehingga beliau dilantik menjadi pesuruhjaya kehakiman, Wan Ahmad Farid membahagikannya kepada undang-undang, politik dan bekerja sebagai setiausaha politik perdana menteri.
Kasihan kepada presiden Majlis Peguam, ketua badan-badan bukan kerajaan dan lain-lain yang terlalu cepat gembira. Lebih-lebih lagi, kasihan kepada hakim-hakim yang lebih senior. Mereka tidak boleh mengagak masa depan mereka.
Semuanya terserah kepada perdana menteri. Mungkin sebab itulah Tengku Maimun hendak menamatkan peranan perdana menteri dalam hal ini. Saya cuba mempertahankan sistem yang sedia ada kerana saya fikir masih ada perdana menteri yang menghormatinya. Entahlah siapa yang betul.
Saya tidak salahkan Wan Ahmah Farid dalam hal ini. Beliau hanya bernasib baik. Cuma saya ingin tahu siapakah yang memberikan namanya kepada PMX.
Jika dibandingkan pelantikan dua orang KHN yang terakhir nampaknya apa yang dilakukan oleh Kerajaan Perpaduan adalah lebih teruk daripada apa yang dilakukan oleh Kerajaan Pakatan Harapan dahulu.
ABDUL HAMID MOHAMAD adalah bekas ketua hakim negara.
Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.