Seorang penduduk Kampung Papan, Pandamaran yang ditahan ketika operasi perobohan rumah semalam, telah direman selama sehari bagi membantu siasatan.
Ketua Polis Daerah Klang Selatan, ACP Ramli Kasa (gambar bawah) mengesahkan perkara itu selepas mahkamah membenarkan permohonan reman berkenaan.
“Suspek dalam (tahanan) reman dan dibenarkan sehari.”
“Kita akan majukan kertas siasatan kepada timbalan pendakwa raya untuk keputusan lanjut,” katanya ketika dihubungi Malaysiakini hari ini.

Semalam, Malaysiakini melaporkan seorang lelaki tempatan berusia 57 tahun ditahan polis atas dakwaan menghalang penjawat awam menjalankan tugas dan melakukan ugutan jenayah.
Menurut laporan, lelaki itu dikatakan kecewa dengan pegawai bertugas sebelum menghempaskan botol kaca ke lantai semasa operasi dijalankan.
Kerja-kerja perobohan yang bermula semalam melibatkan lebih 20 buah rumah dan diteruskan hari ini.
Pertikaian tanah dan notis pengusiran
Sebelum ini, penduduk Kampung Papan telah membuat 66 laporan polis terhadap seorang pemaju tempatan yang didakwa mengeluarkan notis pengusiran tidak adil dan tidak sah.
Penduduk mendakwa notis pengusiran bertarikh 26 Ogos lalu dikeluarkan walaupun kes mereka masih dibicarakan di Mahkamah Rayuan, yang pada Mac lalu membenarkan penangguhan pelaksanaan pengusiran.
Bagaimanapun, difahamkan Mahkamah Tinggi Shah Alam telah membenarkan pemaju tersebut mengambil semula premis yang dipertikaikan, dan mengarahkan penduduk mengosongkan rumah selewat-lewatnya pada 9 September.

Sebagai tindak balas, penduduk Kampung Papan mengadakan beberapa siri protes, termasuk di hadapan pusat pentadbiran kerajaan Selangor dan bangunan Bank Negara Malaysia (BNM).
Mereka yang kebanyakannya mendakwa telah menetap di kampung itu sejak turun-temurun menuntut agar anak syarikat BNM, TPPT Sdn Bhd, menghentikan tindakan pengusiran sehingga isu perumahan dan hak tanah mereka diselesaikan secara adil.






