Malaysia Oversight

Bantah pencerobohan – Polis tahan 12 Orang Asli Kampung Tanam, Pahang

By MkiniBM in December 23, 2025 – Reading time 1 minute
Bantah pencerobohan - Polis tahan 12 Orang Asli Kampung Tanam, Pahang


Seramai 12 penduduk Orang Asli di Kampung Tanam, Pahang, ditahan polis awal hari ini selepas didakwa menghalang sebuah syarikat swasta daripada memasuki kawasan kampung mereka.

Menurut Timbalan Pengerusi Persatuan Suku Kaum Jakun Pahang, Jaidi Musa, penduduk kampung itu cuba menghalang sebuah jentera pengorek (backhoe) yang dipercayai milik syarikat berkenaan daripada membersihkan tanah bagi pembinaan jalan baharu.

Bercakap kepada Malaysiakini, Jaidi berkata penduduk juga berusaha menghalang “orang luar” daripada menceroboh kebun masyarakat setempat kerana bimbang hasil tanaman di situ akan diambil oleh pihak asing.

23cba335dd39b5b0efc5866e84ee4d7b

Dia mendakwa kejadian hari ini merupakan insiden kedua melibatkan penduduk dan syarikat tersebut, yang menurutnya telah membuat laporan polis terhadap penduduk kampung.

Tanah yang dipertikaikan itu, tambahnya, merupakan sebahagian daripada kes mahkamah yang sedang berjalan dan dijangka disebut bulan depan.

“Walaupun tanah ini sudah menjadi sebahagian daripada kes mahkamah, orang luar masih cuba menceroboh kawasan penduduk kampung, menyebabkan ramai dalam kalangan mereka berasa tidak puas hati,” kata Jaidi, yang juga bendahari Jaringan Kampung Orang Asli Pahang.

Berdasarkan rakaman visual yang dikongsi dengan Malaysiakini mengenai kejadian hari ini, sekumpulan lelaki Orang Asli dilihat dibawa masuk ke dalam sebuah trak polis di bawah kawalan beberapa anggota beruniform.

693c2a2a4876f83a5203cb472e550710

Ketika dihubungi, Ketua Polis Daerah Rompin Sharif Shai berkata siasatan berhubung kejadian itu masih dijalankan.

Katanya, satu kenyataan media mengenai penahanan penduduk kampung akan dikeluarkan selepas siasatan selesai.



Source link