Banjir kilat dilaporkan berlaku di pelbagai lokasi di sekitar Lembah Klang ekoran hujan lebat berlanjutan sejak malam tadi.
Antara kawasan yang terjejas ialah beberapa bahagian Shah Alam, Klang dan Puncak Alam, manakala amaran banjir telah dikeluarkan untuk daerah Gombak, Petaling dan Hulu Langat.
Air yang semakin meningkat turut menjejaskan laluan bagi Lebuh Raya Shah Alam (Kesas), Lebuh Raya Baru Lembah Klang (NKVE) dan Lebuhraya Utara-Selatan Lingkaran Tengah (Elite).
Di ibu negara, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur sudah bersiap sedia untuk menghadapi sebarang banjir kilat.

Sementara itu, hujan berterusan juga menyebabkan tanah runtuh berhampiran Jalan Klang Lama.
Ahli Parlimen Seputeh, Teresa Kok, melaporkan bahawa pada jam 10 pagi tadi tembok penahan di belakang Blok B Flat Taman United runtuh dan menghempap sebuah kereta.
Sebagai langkah berjaga-jaga, penduduk dari blok B dan C telah dipindahkan ke Pusat Komuniti Sri Petaling.
Di seluruh negara setakat awal petang ini, lebih 11,500 orang dipindahkan ke pusat pemindahan sementara kerana banjir, dengan 8,000 orang daripadanya di Kelantan.
Perlis dan Perak juga dilaporkan terjejas teruk dengan lebih 1,000 penduduk di setiap negeri dipindahkan.







