Malaysia Oversight

Bakal pesara tentera bakal dilatih terus dalam industri

By Utusan in October 15, 2025 – Reading time 2 minute


PETALING JAYA: Kementerian Pertahanan merancang melaksanakan pendekatan baharu dengan menempatkan latihan peralihan anggota tentera terus di industri melalui Pelan Transformasi Perbadanan Hal Ehwal Bekas Angkatan Tentera (Perhebat) 2026-2035.

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, perancangan transformasi itu menandakan perubahan besar dalam pelaksanaan latihan oleh Perhebat yang selama ini dijalankan di pusat latihan perbadanan itu.

Menurutnya, pendekatan baharu ini membolehkan anggota yang bakal bersara menyesuaikan diri lebih cepat dengan suasana kerja sebenar serta meningkatkan peluang untuk diserap terus oleh syarikat terlibat.

“Kita mahu latihan itu dibuat terus di industri supaya industri menilai, melatih dan terus ambil mereka bekerja,” katanya pada pada akhbar selepas Majlis Pelancaran Pelan Transformasi Perhebat 2026-2035 di Damansara di sini.

Kata beliau, latihan berasaskan industri itu memberi jaminan lebih kukuh kepada bakal pesara kerana ia bukan sekadar menambah kemahiran tetapi memastikan kebolehpasaran dan kestabilan pendapatan selepas persaraan.

Khaled berkata, sebanyak 44 agensi serta syarikat telah menyatakan komitmen menyertai pelan tersebut, termasuk sektor pembuatan, marin, baik pulih, pengangkutan, telekomunikasi dan agro makanan yang akan menempatkan bakal pesara mengikut kemahiran masing-masing.

“Setiap tahun, lebih 5,000 anggota ATM melalui fasa peralihan, oleh itu dengan kerjasama industri, kita mahu pastikan proses itu benar-benar membawa hasil, bukan sekadar latihan tanpa peluang pekerjaan,” katanya.

“Kalau 20 tahun dia jadi mekanik, dia memang ada kemahiran dan kita mahu beri pengiktirafan rasmi supaya mereka keluar bukan sahaja berpengalaman, tetapi juga berkelayakan,” katanya.

Khaled turut menekankan keperluan mewujudkan sistem padanan antara kemahiran, lokasi dan peluang pekerjaan bagi memastikan veteran dapat bekerja berhampiran kawasan tempat tinggal selepas bersara. – UTUSAN 





Source link