Malaysia Oversight

Bagi kerakyatan pemain warisan demi ‘agenda negara’

By MkiniBM in October 10, 2025 – Reading time 2 minute
Bagi kerakyatan pemain warisan demi 'agenda negara'


Ahli Majlis Kerja Tertinggi , Puad Zarkashi, tampil mempertahankan keputusan memberi kewarganegaraan kepada tujuh pemain bola sepak “warisan” yang dikenakan sekatan oleh badan sukan dunia.

“Kenapa dipolitikkan kewarnegaraan pemain warisan? Apa salahnya diberi kerakyatan atas agenda “nasional”.

“Pemberian kerakyatan kepada pemain warisan adalah langkah strategik agar Malaysia layak masuk ke pusingan akhir bola sepak piala dunia,” katanya di Facebook hari ini.

Speaker Dewan Undangan Negeri Johor itu menyifatkan “keputusan ini wajar disokong kerana ia membantu meningkatkan mutu sukan negara dan memberi motivasi kepada bakat tempatan untuk bersaing di peringkat antarabangsa.”

7906231699e239d8130d184a4c1438bb

Pada 26 Sept lalu, Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (Fifa) mengenakan sekatan terhadap Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) dan tujuh pemain “warisan” kerana melanggar Artikel 22 Kod Tatatertib Fifa berhubung pemalsuan dan penipuan dokumen.

Fifa berkata FAM telah menyerahkan dokumen palsu untuk mengesahkan kelayakan pemain terbabit, membolehkan mereka beraksi dalam pusingan ketiga kelayakan Piala Asia 2027 menentang Vietnam pada 10 Jun.

FAM turut diarahkan membayar denda sebanyak 350,000 franc Swiss (RM1.9 juta), manakala setiap tujuh pemain berkenaan dikenakan denda 2,000 franc Swiss (RM10,500) seorang.

8ae54aad913c5fc04da1864c8bcd92c3

Semalam, Menteri Dalam Negeri Saifuddin Nasution Ismail memberitahu Dewan Rakyat bahawa beliau telah menggunakan kuasa yang diperuntukkan dalam Perlembagaan untuk mempertimbangkan tujuh pemain bola sepak “warisan” itu sebagai layak diberi kewarganegaraan Malaysia.

Saifuddin menjelaskan bahawa Perkara 20(1)(e) memberikan kuasa budi bicara kepada menteri ketika mempertimbangkan permohonan kewarganegaraan warga asing, khususnya dalam memenuhi syarat tempoh menetap minimum.

“Dalam perlembagaan juga ada satu fasal namanya Perkara 20(1)(e) di mana menteri boleh guna kuasa budi bicaranya.

“Kuasa 20(1)(e) ini bermaksud, maksud pemastautin itu seperti dalam perlembagaan membenarkan keberadaan pemohon itu di luar pun bolehlah dianggap dia berada dalam negara.

“Begitu bahasa perundangan dalam buku ini, dalam kitab ini. Saya guna pakai Perkara 20(1)(c) ini bagi memenuhi syarat pemastautin itu,” katanya semasa Sesi Pertanyaan Menteri.

Contohi Singapura

Sementara itu, Puad menggesa orang ramai mencontohi pendekatan Singapura dalam memperkasa bidang sukan melalui Foreign Sports Talent (FST) Scheme.

Katanya, di bawah program itu permohonan kewarganegaraan bagi atlet asing dipercepatkan dan ramai antara mereka berjaya memenangi kejohanan bertaraf antarabangsa.

Puad turut menjelaskan program berkenaan hanya melibatkan beberapa jenis sukan terpilih, dengan jumlah atlet asing yang diterima sangat terhad.

“Ada yang menang pingat di sukan olimpik. Itu memberi semangat pada rakyat Singapura agar lebih berdaya saing.

“Ikut pengalaman FST, selepas mendapat kerakyatan mereka masuk program khas untuk diintegrasikan dengan budaya rakyat tempatan.

“Jumlahnya bukan ramai. Untuk jenis sukan yang terpilih sahaja,” katanya.

Program FST, yang sebelum ini dikenali sebagai Project Rainbow, diperkenalkan pada 1993. Namun, beberapa pihak kini mendesak agar program itu dihentikan dengan alasan Singapura sudah mempunyai bakat tempatan yang mencukupi untuk bersaing di pentas antarabangsa.



Source link