Malaysia Oversight

Bagaimana rancangan untuk Pangkor ancam keselamatan makanan

By MkiniBM in July 31, 2025 – Reading time 2 minute
Bagaimana rancangan untuk Pangkor ancam keselamatan makanan


Setiap pagi, jutaan rakyat Malaysia menikmati sarapan dan makanan kegemaran mereka – nasi lemak.

Salah satu komponen utamanya ialah ikan bilis. Dikeringkan dan diasinkan, ia memberi rasa umami yang kuat dalam banyak hidangan Malaysia.

Namun, tidak ramai yang sedar bahawa sebahagian besar ikan bilis kering dihasilkan di Pulau Pangkor, Perak – yang kini menjadi tumpuan projek pembangunan semula berskala besar untuk menarik jutaan pelancong ke pulau yang masih belum tercemar itu.

Penduduk tempatan dan aktivis memberi amaran jika Rancangan Kawasan Khas (RKK) Pulau Pangkor – yang digubal pada 2024 dan merangkumi pusat beli-belah, hotel mewah, dan penambakan tanah – diteruskan, industri perikanan Pulau Pangkor bakal terancam.

RKK menyasarkan untuk memanfaatkan status bebas cukai Pulau Pangkor yang diberikan pada 2020. Rancangan itu mahu menarik 2.87 juta pelancong setiap tahun dan menjanjikan peningkatan pendapatan isi rumah sebanyak RM1,164 sebulan.

b8f22d4f6ef4b9bd2be16a23b2ccdb66

Namun ada harga yang perlu dibayar. Pembangunan semula pekan Pangkor secara besar-besaran akan mengorbankan jeti dan infrastruktur penting untuk nelayan demi memberi laluan kepada kemudahan pelancongan baharu.

Penduduk pulau yang ditemui KiniTV menyatakan keraguan terhadap rancangan itu, memberi amaran bahawa pengalihan tumpuan daripada industri perikanan ke pelancongan akan membawa kesan buruk kepada keselamatan makanan negara.

Pakar industri menganggarkan bahawa 40 peratus ikan bilis yang dimakan di Malaysia datang dari Pulau Pangkor sahaja. Industri perikanan di situ juga membekalkan makanan ruji lain seperti ikan kembung.

Ubah identiti Pangkor

Bekas ahli majlis perbandaran Manjung, Shamsul Izwan – yang juga bekas nelayan – berkata Pekan Pangkor menjadi pilihan utama industri perikanan kerana lokasinya yang strategik dan terlindung daripada cuaca buruk.

“Tak bolehlah kita nak buat pelantar untuk nak parkir bot untuk nak proseskan bilis. Memang tak bolehlah. Sebab itu bagi saya kawasan ini memang tak boleh usik, kecuali untuk kamu naik taraf,” katanya.

13bc3a0c7ca06939a089c952e3e2d36b

Menurutnya, ramai penduduk pulau membuat dua kerja. Selepas musim pelancongan, ada yang kembali menjadi nelayan atau melakukan kerja lain berkaitan industri itu untuk menyara hidup.

“Kalau kita buang sektor perikanan, kita jual product bebas cukai, berapa lama boleh bertahan? Kita tak boleh tahan lama sebab kita boleh tengok contoh macam di Langkawi,” katanya.

Stella Ho, pensyarah kanan di Universiti Sunway yang mengkhusus dalam pembangunan komuniti lestari, memberi amaran bahawa matlamat RKK ialah untuk membentuk semula identiti ekonomi Pulau Pangkor, termasuk mengalih orang dalam industri perikanan kepada pekerjaan baru.

“Tapi masalahnya, bukan semua orang mahu jadi pemandu pelancong,” kata Ho, yang menjalankan kajian tentang dasar perikanan di Pulau Pangkor.

Ketika ini, RKK masih di peringkat cadangan dan penilaian impak alam sekitar belum dimulakan, walaupun pemaju sudah mula mengintai lot-lot projek tersebut.

Untuk memahami dengan lebih lanjut tentang RKK serta pandangan penduduk dan pakar, sila tonton dokumentari mini oleh KiniTV.

Dokumentari mini ini disokong oleh Macaranga Environmental Reporting Mentorship, dengan sokongan Youth Environment Living Labs dan dikendalikan oleh Justice for Wildlife Malaysia.

[Baca laporan asal]



Source link