Selepas pendedahan terbaharu video yang mengaitkan Timbalan Ketua Menteri I Sabah, Jeffrey Kitingan dengan skandal perlombongan, dua pemimpin Warisan mempersoalkan bagaimana Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dapat memperjuangkan hak negeri dengan kerajaan persekutuan melalui barisan pemimpin yang sudah tercemar.
“Ini bukan lagi sekadar soal politik, tetapi soal kepercayaan, maruah dan masa depan Sabah. Skandal ini mendedahkan apa yang Warisan sudah lama ingatkan – bahawa keadaan dalam GRS sebenarnya bermasalah,” kata Naib Presiden Warisan, Terrence Siambun (gambar utama).
“Selama lima tahun, GRS berjanji mempertahankan hak Sabah, tetapi sementara rakyat negeri terus menunggu, skandal demi skandal semakin banyak.
“Bagaimana Sabah dapat menuntut haknya di bawah MA63 (Perjanjian Malaysia 1963) jika pemimpinnya sendiri tercemar?
“Tuntutan hasil 40 peratus masih tergantung dan isu hak pelantar benua masih belum selesai,” katanya lagi dalam kenyataan hari ini.
Hari ini, ahli perniagaan merangkap pemberi maklumat, Albert Tei, sekali lagi membuat kejutan dengan mendedahkan rakaman perbualannya bersama Kitingan, yang didakwa menerima bayaran paling banyak.

Tei memberitahu Malaysiakini yang jumlah yang diberikan kepada ahli politik veteran itu, yang juga ahli Parlimen Keningau, adalah RM1.78 juta – lebih tinggi daripada angka RM1.6 juta yang disebut dalam klip tersebut.
Video itu dirakam semasa mesyuarat di sebuah restoran makanan laut di Kuala Lumpur pada 13 Okt 2024, berkisar mengenai pembatalan lesen penerokaan perlombongan.
Dalam rakaman itu, Tei memperincikan dakwaan bayaran yang dibuat kepada presiden Parti Solidariti Tanah Airku (Star) itu.
Dalam rakaman sama, dia turut mendakwa telah membayar lebih RM500,000 kepada timbalan Kitingan merangkap Adun Sook, Ellron Angin, serta RM300,000 lagi kepada Adun Bingkor, Robert Tawik, yang juga timbalan presiden Star.
Sepanjang perbualan yang dirakam itu, Kitingan tidak mengesahkan atau menafikan transaksi yang disebutkan.
Malaysiakini telah menghubungi Kitingan, pembantunya, Ellron dan Tawik untuk mendapatkan respons. Ketiga-tiga pemimpin Star itu sebelum ini menafikan sebarang penglibatan dalam skandal berkenaan.
Sementara itu, Ahli Majlis Tertinggi Warisan, Mudi Dubing berkata pendedahan terbaru ini menjadi peringatan bahawa gabungan yang rapuh pada akhirnya akan retak, dengan rakyat yang akan menanggung akibatnya.
Katanya, para pemimpin politik terpalit dengan skandal di saat rakyat Sabah masih berdepan dengan kos sara hidup yang meningkat, infrastruktur daif dan masalah kekurangan bekalan air.
“Rakyat Sabah patut mendapat pemimpin yang meletakkan integriti mengatasi kepentingan diri, serta sebuah kerajaan yang sentiasa mengutamakan rakyat,” katanya lagi.
Sebelum ini, Tei telah mendedahkan sembilan rakaman, mengaitkan beberapa Adun dan Speaker DUN Sabah, Kadzim Yahya, dengan dakwaan menerima rasuah sebagai pertukaran untuk lesen penerokaan mineral.
Dia mendakwa lesen tersebut diberikan sebagai ganjaran kerana menyokong Ketua Menteri Sabah, Hajiji Noor semasa krisis politik yang dirujuk sebagai ‘Langkah Kinabalu’.
Tei dan dua Adun telah dihadapkan ke mahkamah. Namun nasib ahli politik lain yang didakwa terlibat masih tidak jelas, dengan sejumlah pihak menuduh pihak berkuasa cuba menyelidung kes tersebut.
Semua Adun yang terpalit adalah daripada gabungan pemerintah GRS – sekutu PH pimpinan Perdana Menteri Anwar Ibrahim.