Malaysia Oversight

Bagaimana keldai dadah boleh lepas pemeriksaan di Malaysia?

By MkiniBM in September 28, 2025 – Reading time 2 minute
Bagaimana keldai dadah boleh lepas pemeriksaan di Malaysia?


Seorang pemimpin DAP hari ini mempersoalkan keberkesanan pemeriksaan sempadan Malaysia, susulan pelaksanaan hukuman mati di Singapura terhadap seorang lagi rakyat Malaysia yang menjadi keldai dadah.

Setiausaha Hal Ehwal Antarabangsa DAP, Kasthuri Patto mempersoalkan bagaimana individu yang memiliki dadah boleh melepasi pihak berkuasa Malaysia dan masuk ke Singapura.

“Kesemua lelaki ini, dan ramai lagi yang lain, telah ditangkap di Singapura di pusat pemeriksaan semasa dalam perjalanan dari Malaysia.

“Soalan pokok disini adalah mengapa mereka tidak ditahan oleh pihak kastam atau polis Malaysia di tanah air sendiri?

“Adakah pegawai Malaysia tidak mengetahui tentang bungkusan pada badan mereka atau di dalam kenderaan mereka?” soalnya dalam kenyataan hari ini.

Bekas anggota Parlimen Batu Kawan itu juga mempersoalkan jika pihak berkuasa sebenarnya tahu atau tentang mereka tetapi masih “membiarkan” mereka menyeberang sempadan untuk ditahan oleh pihak berkuasa Singapura.

“Bagaimana pula jika ada yang cuba menyeludup keluar bahan letupan, bom atau lebih teruk lagi – terlibat dalam aktiviti memperdagangkan kanak-kanak dari Malaysia ke Singapura? 

“Adakah aktiviti mereka akan dikesan atau ia diatas bahu pihak penguatkuasa Singapura?” soalnya lagi.

Pada Rabu lalu, Singapura melaksanakan hukuman mati terhadap seorang rakyat Malaysia berusia 39 tahun, K Datchinamurthy, yang disabitkan kesalahan menyeludup 44.96g diamorfin ke republik itu.

0d38b93778bf1d4ce703ce433f92c3ae
K Datchinamurthy

Dia dijatuhkan hukuman mati pada 2015 selepas ditangkap pada 2011, dan dijadual untuk menjalani hukuman gantung pada 2022.

Bagaimanapun, dia memperoleh penangguhan hukuman daripada Mahkamah Tinggi Singapura sementara menunggu perbicaraan saman undang-undangnya terhadap Singapura berkaitan hukuman tersebut.

Datchinamurthy juga merupakan salah seorang daripada empat rakyat Malaysia yang menunggu hukuman mati di Singapura yang disorot oleh Suhakam awal bulan ini, sebagai sebahagian daripada permohonannya agar Malaysia campur tangan dalam pelaksanaan hukuman tersebut.

Tiga yang lain ialah P Pannir Selvam, S Saminathan, dan R Lingkesvaran.


Bakal ke tali gantung esok, aktivis berhimpun di kedutaan S’pura untuk Datchinamurthy


Mengulas lanjut, Kasthuri menggesa pihak berkuasa yang mengawal sempadan Malaysia untuk meningkatkan sumber dan kepakaran agar keldai dadah dapat ditahan sebelum menyeberang ke negara jiran.

Katanya, keldai dadah sering menjadi mangsa sindiket yang menjerat golongan miskin dan masyarakat terpinggir.

Dengan menangkap mereka, katanya lagi, pihak berkuasa boleh mendapatkan maklumat penting berhubung sindiket dadah.

‘Hukuman mati bukan pencegah’

Kasthuri turut mengecam penggunaan hukuman mati terhadap penyeludup dadah peringkat rendah, yang kebanyakannya merupakan golongan terpinggir, minoriti dan daripada kelas ekonomi rendah.

“Dalam banyak kes juga, golongan yang berkuasa dan berpengaruh jarang berdepan dengan tindakan berbanding dengan apa yang warga marhaen perlu hadapi. Apa-apapun, seseorang mesti bertanggungjawab atas perbuatannya.

“Tiada jalan pintas, tetapi hukuman mati sebagai satu langkah pencegahan jenayah telah dibuktikan tidak berkesan. 

“Pada kadar Singapura melaksanakan hukuman mati terhadap kesalahan berkaitan dadah, seharusnya masalah dadah di Singapura sudah menjadi sifar namun hakikatnya ia masih wujud,” katanya lagi, yang juga naib pengerusi Wanita DAP.



Source link