Persatuan Bola Sepak Ireland (FAI) meluluskan resolusi yang menggesa penggantungan segera Israel daripada semua pertandingan di bawah naungan Kesatuan Persatuan Bola Sepak Eropah (Uefa) berikutan dakwaan pelanggaran peraturan melibatkan isu perkauman dan penglibatan kelab Israel di wilayah Palestin yang diduduki.
Perhimpunan agung FAI pada Sabtu menyaksikan 74 undi menyokong, tujuh menolak dan dua berkecuali bagi memberi mandat kepada lembaga FAI mengemukakan usul rasmi kepada Uefa berkaitan isu itu, lapor Agensi Berita dan Maklumat Palestin (Wafa).
Resolusi itu menyatakan bahawa Persatuan Bola Sepak Israel melanggar dua peraturan asas Uefa iaitu gagal melaksanakan dasar antiperkauman secara berkesan serta membenarkan kelab-kelab Israel bermain di wilayah Palestin yang diduduki tanpa persetujuan Persatuan Bola Sepak Palestin.
Uefa sebelum ini dijadual mengadakan undian pada Oktober bagi membincangkan penggantungan Israel di tengah-tengah tekanan antarabangsa selepas serangan ketenteraan Israel di Gaza, namun undian itu dibatalkan selepas gencatan senjata yang diusahakan Amerika Syarikat diumumkan pada 10 Okt.
Langkah FAI sejajar dengan desakan yang semakin meningkat daripada pertubuhan bola sepak dan badan antarabangsa lain.
Pada September, ketua persekutuan bola sepak Turkiye dan Norway secara terbuka menyeru supaya Israel digantung daripada pertandingan Uefa.
Pakar Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) juga sebelum ini menggesa Fifa dan Uefa mengambil tindakan, merujuk kepada laporan Suruhanjaya Siasatan PBB yang menuduh Israel melakukan jenayah genosid di Gaza.
Selain itu, lebih 30 pakar undang-undang antarabangsa pada Oktober lalu turut menyeru Uefa menyekat Israel dan kelab-kelabnya daripada menyertai kejohanan bola sepak Eropah.
-Bernama






