KUALA LUMPUR : Pelakon, Shaheizy Sam, 43, menegaskan, adegan berpelukan dengan aktres, Azira Syafinazdi dalam filem terbaharu berjudul Indera merupakan yang terakhir kali dilakukannya.
Menurut Sam, dia nekad membuat keputusan tersebut berikutan menyedari dirinya tidak lagi selesa melakonkan adegan seperti itu sama ada untuk naskhah filem atau drama.
“Terus terang, saya sebenarnya tak okey melakonkan babak tersebut. Kalau sekarang disuruh buat babak macam itu lagi, saya tak akan buat.
“Empat tahun lalu, ketika terlibat dalam penggambaran itu, fikiran saya lain. Masa itu saya fikir nak jujur dalam kerja, nak beri nampak ‘real’. Tapi sekarang, saya sedar, untuk buat babak bersentuhan seperti itu tak perlu pun,” katanya.
Sam berkata demikian ketika ditemui pada majlis tayangan perdana filem Indera di GSC Midvalley, di sini, semalam.
Jelas suami kepada pelakon, Syatilla Melvin, ini lagi, dia tidak menolak bahawa keputusan itu dibuat seiring dengan kematangan usianya sebagai seorang individu.
“Kalau ditanya mengenai isu ini, saya cuma berlakon dan tak ada sikit rasa apa-apa pun ketika buat itu. Sebab saya tahu, benda begini boleh datangkan fitnah.
“Jadi, kalau tanya mampu tak nak buat balik sekarang babak macam itu (mesra) saya tak akan buat dah,”katanya.
Selain itu, ditanya sama ada keputusan itu dibuat kerana dia turut mengambil kira perasaan dan emosi isteri, Sam berkata, hal itu bukan penyebabnya.
“Dia (Syatilla) tak perlu cakap apa-apa tapi sebagai manusia, saya faham apa yang mungkin dia rasa.
“Ya saya patut faham tapi ketika itu pemikiran kita lain. Kita mahu jujur supaya lakonan nampak seronok dan lebih hidup. Tapi apa saya fikir sekarang, tak perlu pun buat begitu sebenarnya.
“Bukan kita nak tunjuk ustaz atau alim. Tidak! Mungkin semakin matang. Lelaki bukankah lambat matang?”katanya.
Sementara itu, mengenai Indera, ia merupakan sebuah filem psycho-thriller yang turut dibintangi Samara Kenzo, Ruminah Sidek, Adlin Aman Ramli dan lain-lain.
Berlatar belakangkan tragedi Peristiwa Memali pada tahun 1985, filem ini berkisarkan tentang seorang balu dan anak perempuannya yang sering mengalami ‘mysterious visions’ di sebuah kampung terpencil.
Filem arahan sutradara, Woo Ming Jin ini diterbitkan oleh Greenlight Pictures, Lomo Pictures serta GSC Movies dan akan ditayangkan di pawagam bermula 7 Ogos.