Malaysia Oversight

Azmir Saifuddin duduki semula kerusi Finas

By Utusan in November 5, 2025 – Reading time 2 minute
Azmir Saifuddin duduki semula kerusi Finas


KUALA LUMPUR : Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) mengumumkan pelantikan semula Datuk Azmir Saifuddin Mutalib sebagai Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) bagi tempoh 1 November 2025 hingga 31 Oktober 2027.

Dalam satu kenyataan kepada media, Azmir turut menzahirkan penghargaan atas kepercayaan yang diberikan kepadanya untuk menerajui jawatan tersebut bagi penggal kedua.

Meneruskan komitmen terhadap tugas, Azmir menggariskan empat fokus utama dalam hala tuju bersama agensi terbabit.

Antaranya ialah pindaan Akta Finas 1981 (Akta244) yang bertujuan memperkemas perundangan dan tadbir urus industri bagi melindungi kebajikan kru produksi, memodenkan perlesenan serta menyokong model pekerjaan kreatif kontemporari.

Beliau juga melaksanakan Dasar Perfileman Negara (DFN) 2025-2035 yang melibatkan pelan pembangunan dalam tempoh 10 tahun.

Sebanyak RM110 juta diperuntukkan sebagai insentif bagi menggalakkan penerbit tempatan dan antarabangsa menghasilkan karya berkualiti tinggi di Malaysia.

Dalam masa sama, beliau turut memberi fokus kepada Dana Belia Kreatif Madani yang membawa harapan untuk melahirkan generasi pencipta kandungan berilmu, bertanggungjawab dan berjiwa patriotik, termasuk sokongan terhadap pembangunan bakat kampus serta belia komuniti di seluruh negara.

Dalam pada itu, Finas dalam satu kenyataan turut berharap agar pelantikan tersebut dapat memacu lagi industri seni menjadi sebuah entiti yang berintegriti.

“Ini adalah wajah baharu FINAS. Melalui pindaan Akta FINAS dan penambahbaikan Dasar Perfileman Negara (DFN), FINAS akan memberikan perkhidmatan yang lebih cekap, telus dan mesra industri. Kami akan memperkukuh fasiliti teknologi di Hulu Kelang sebagai pusat kecemerlangan produksi serta memperluas program infrastruktur kandungan di Sabah dan Sarawak untuk membangunkan Borneo Content sebagai jenama strategik Malaysia di peringkat antarabangsa.

“Finas juga komited untuk merakyatkan dan meletakkan industri filem Malaysia sebagai industri yang dinamik, mampan, inklusif dan diiktiraf di persada global, mencerminkan identiti pelbagai bangsa serta menyumbang kepada perpaduan dan ekonomi negara,”katanya.

Untuk rekod, Azmir mula memegang jawatan sebagai CEO Finas pada 1 November 2023.

 

 





Source link