Malaysia Oversight

Azlan Man tidak boleh ambil wang ganti jika penerbangan dibatalkan

By TheSun in September 8, 2025 – Reading time 3 minute
Azlan Man tidak boleh ambil wang ganti jika penerbangan dibatalkan


KUALA LUMPUR: Mahkamah Sesyen hari ini diberitahu bahawa Datuk Seri Azlan Man tidak boleh mengambil wang ganti jika beliau membatalkan penerbangan meskipun kelayakan cuti seberang laut bagi tahun semasa telah diluluskan dan pembayaran dibuat kepada ejen pelancongan.

Tirawud Etam, 40, yang sebelum ini bertugas sebagai Penolong Setiausaha (Unit Korporat) di Pejabat Setiausaha Negeri Perlis sebaliknya berkata wang berkenaan perlu dipulangkan kepada Pejabat Perbendaharaan Negeri Perlis.

“Sekiranya sesuatu penerbangan bagi Cuti Seberang Laut dibatalkan, Pesanan Tempatan (LO) yang dikeluarkan perlu dibatalkan oleh pihak Pusat Tanggungjawab dan jika tiket telah dikeluarkan kepada Menteri Besar (Azlan) dan Menteri Besar membatalkan penerbangan, Menteri Besar tidak boleh mengambil wang ganti,“ katanya.

Saksi pendakwaan ke-16 itu berkata demikian ketika membacakan pernyataan saksinya pada perbicaraan kes bekas Menteri Besar Perlis itu yang berdepan 10 pertuduhan mengemukakan tuntutan palsu dan menerima wang hasil aktiviti haram.

Tirawud yang kini Ketua Unit Keselamatan Jalan Raya dan Korporat di Jabatan Pengangkutan Jalan berkata berdasarkan Pekeliling Perbendaharaan Malaysia dan peraturan lain yang sedang berkuat kuasa, pembayaran bagi perkhidmatan perjalanan ke luar negara oleh Menteri Besar tidak boleh dibuat sekiranya perjalanan sebenar tidak berlaku.

Beliau berkata pembayaran bagi perkhidmatan perjalanan ke luar negara sekiranya dibuat adalah dibayar kepada syarikat yang membekalkan perkhidmatan.

“Dalam pengetahuan saya, pembayaran dibuat setelah perkhidmatan yang diterima disempurnakan dan disahkan oleh Pusat Tanggungjawab berdasarkan dokumen-dokumen yang dikemukakan,“ katanya semasa pemeriksaan utama oleh Timbalan Pendakwa Raya Alis Izzati Azurin Mohd Rusdi.

Beliau yang mengenali bekas Menteri Besar Perlis itu semasa berkhidmat di Pejabat Setiausaha Negeri Perlis pada 2014 berkata pembayaran tidak boleh dibuat kepada pembekalan atau perkhidmatan oleh Pusat Tanggungjawab sekiranya ia tidak dilakukan.

“Ini kerana pembayaran dibuat berdasarkan Pesanan Tempatan kepada pembekal atau syarikat oleh Pusat Tanggungjawab berserta dokumen-dokumen yang disahkan oleh Pusat Tanggungjawab,“ katanya.

Pada prosiding hari ini, Tirawud turut mengesahkan dokumen salinan sebut harga daripada Sri Kedawang Travel & Tours (W) Sdn Bhd kepada Setiausaha Sulit Kanan Azlan berjumlah RM216,260 bertarikh 20 Nov 2014.

Saksi itu juga mengesahkan salinan sebut harga daripada Sri Kedawang Travel berjumlah RM241,295.40 bertarikh 26 Nov 2015, salinan sebut harga daripada Aidil Travel & Tours Sdn Bhd berjumlah RM253,195.40 bertarikh 14 Dis 2016 dan salinan sebut harga daripada Aidil Travel berjumlah RM268,993.28 bertarikh 17 Okt 2017.

“Saya sahkan bahawa dokumen-dokumen ini adalah berkaitan sebut harga yang dikemukakan oleh pihak ejen pelancongan bagi tiket penerbangan dan penginapan pergi dan balik ke London,“ katanya.

Azlan, 67, didakwa atas lima pertuduhan berkaitan tuntutan palsu bagi kemudahan cuti ke luar negara berjumlah lebih RM1.18 juta, yang didakwa dilakukan di Pejabat Setiausaha Negeri Perlis, antara Disember 2013 dan Disember 2017.

Tuntutan tersebut melibatkan sebut harga tiket penerbangan ke London, United Kingdom, serta invois daripada syarikat pelancongan Sri Kedawang Travel & Tour (W) Sdn Bhd dan Aidil Travel & Tours Sdn Bhd.

Azlan juga berdepan lima pertuduhan menerima wang hasil aktiviti haram berjumlah RM1.06 juta antara 19 Feb 2014 dan Disember 2017 di beberapa lokasi termasuk cawangan Maybank Jalan Tuanku Abdul Rahman, CIMB Bank cawangan serta Hotel Sheraton Imperial di sini.

Selain itu, Azlan turut berdepan lima pertuduhan pilihan kerana didakwa menyalahgunakan wang RM1.06 juta milik kerajaan Perlis yang dibayar kepada Sri Kedawang Travel dan Aidil Travel & Tours Sdn Bhd.

Perbicaraan di hadapan Hakim Azura Alwi bersambung 26 Sept ini – BERNAMA



Source link