Para pengundi perlu dimaklumkan kenapa ada ahli parlimen yang mewakili mereka enggan menyokong cadangan Putrajaya untuk mengehadkan tempoh jawatan perdana menteri, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Azalina Othman Said.
Menghalakan kritikan kepada pembangkang, ahli parlimen Pengerang itu berkata sokongan terhadap cadangan reformasi berkenaan amat penting memandangkan ia memerlukan sokongan majoriti dua pertiga Dewan Rakyat untuk diluluskan.
“Tapi kalau ahli-ahli parlimen menolak pindaan ini, pindaan perlembagaan, menunjukkan mereka tidak yakin bahawa ini sesuatu yang sangat penting.
“Mungkin ahli parlimen tersebut kena maklum pada rakyat yang memilih mereka lah. Kenapa dia tidak ada kemahuan untuk hadkan kuasa yang menjadi perdana menteri,β katanya kepada pemberita selepas sesi libat urus di Putrajaya hari ini.

Sesi berkenaan diadakan bagi mendapatkan maklum balas daripada pertubuhan masyarakat sivil dan ahli akademik berhubung inisiatif reformasi tersebut, yang disasarkan Putrajaya untuk dibentangkan pada sesi Parlimen akan datang.
Cadangan itu merupakan antara empat reformasi yang dirancang untuk dilaksanakan pada 2026 ketika pentadbiran Madani berusaha menunaikan janji pilihan rayanya.
Cadangan tersebut memerlukan pindaan kepada Perlembagaan Persekutuan, yang hanya boleh diluluskan dengan sokongan sekurang-kurangnya dua pertiga daripada 222 ahli Dewan Rakyat.
Walaupun kerajaan perpaduan pimpinan Anwar Ibrahim sudah memiliki sokongan dua pertiga, pihak pembangkang menyatakan kesediaan untuk menyokong cadangan itu namun dengan satu syarat.

Menurut Ketua Pembangkang, Hamzah Zainudin, pihaknya mahu ia disertakan dengan klausa yang menghalang perdana menteri daripada memegang portfolio kewangan secara serentak.
Bagaimanapun, Azalina berkata isu portfolio kabinet merupakan perkara berasingan dan tumpuan Putrajaya ketika ini adalah meluluskan pindaan Perlembagaan bagi mengehadkan tempoh jawatan perdana menteri.
βIsu yang ditekankan saya rasa daripada ketua pembangkang ialah isu tentang salah guna kuasa, itu yang dia menekankan. Saya memahamilah elemen dia.
“Tapi itulah, saya selalu menyoal sepatutnya benda-benda baik ni bila mereka berkuasa, mereka pun boleh buat dan sepatutnya benda ni dah buat dari dulu kan.

“Tapi kalau ini langkah yang dibuat oleh kerajaan perpaduan madani saya berharap kita boleh memberikan lebih justifikasi dan lebih sokongan daripada merekalah sebagai ahli parlimen,β katanya.
Azalina menegaskan semangat di sebalik cadangan itu untuk menyampaikan mesej bahawa tiada sesiapa yang tidak boleh digantikan.
Menurutnya, idea mengehadkan tempoh jawatan perdana menteri bukan berkaitan kualiti atau nilai seseorang pemimpin, sebaliknya bagi memastikan jawatan yang berkuasa itu tidak dilihat sebagai sesuatu yang boleh dipegang tanpa had masa.
Sementara itu, Azalina berkata dia akan membentangkan cadangan tersebut dalam mesyuarat jemaah menteri esok untuk mendapatkan kelulusan.






