Malaysia Oversight

Ayam Palembang ibu jadi penawar Yogendran sempena Deepavali

By Utusan in October 20, 2025 – Reading time 3 minute
Ayam Palembang ibu jadi penawar Yogendran sempena Deepavali


PETALING JAYA: Selepas berbulan-bulan meninggalkan rumah demi tugas membimbing skuad perseorangan lelaki kebangsaan, jurulatih K. Yogendran akhirnya berpeluang meraikan Deepavali bersama keluarga tersayang.

Bagi bekas pemain kebangsaan itu, perayaan tahun ini membawa makna mendalam walaupun hanya sempat disambut sehari.

Yogendran baru sahaja menamatkan tanggungjawab di Malaysia Super 100 di Iskandar Puteri, Johor semalam kini dalam persediaan untuk tugasan seterusnya ke Korea Masters, Kumamoto Masters dan Terbuka Australia bulan depan.

Namun di sebalik kesibukan itu, hati jurulatih berusia 43 tahun ini tetap terpaut pada hidangan yang paling dinantikan setiap kali Deepavali menjelma.

“Hidangan kegemaran saya ialah ayam goreng ibu saya yang kami panggil Ayam Palembang. Ia digoreng dengan kicap dan semua orang suka, termasuk jurulatih Rexy Mainaky.

“Setiap tahun rakan-rakan akan tanya, ‘Ibu masak lauk tu lagi tak?’ sebab memang itu lauk utama di rumah kami. Cuma kali ini jurulatih Kenneth Jonassen tak sempat rasa sebab dia berada di Eropah,” kata Yogendran.

Bagi beliau, hidangan istimewa ibu bukan sekadar makanan tetapi simbol kasih sayang dan akar yang tidak pernah putus.

“Setiap kali rasa ayam Palembang tu, saya teringat zaman kecil dan suasana di rumah dulu. Itu yang buat Deepavali jadi bermakna,” katanya.

Yogendran mengakui sudah lama tidak benar-benar meraikan Deepavali sejak menyertai skuad kebangsaan sebagai pemain.

“Sejak mula bersama BAM sebagai pemain, kami jarang sambut sebab selalunya ada kejohanan. Tapi sejak kembali sebagai jurulatih pada 2021, suasananya lain. Cuma memang tiada Deepavali sebenar untuk kami,” katanya.

Walaupun masa untuk bersama keluarga amat terhad, Yogendran tetap bersyukur dapat meluangkan walau hanya satu hari bersama isteri, K. Sugita, dan anak-anaknya.

Beliau menganggap Deepavali bukan sekadar perayaan, sebaliknya peluang untuk mengeratkan kasih sayang yang sering diuji oleh jarak dan waktu.

“Apa yang paling penting tentang Deepavali ialah ia menyatukan seluruh keluarga. Hari itu semua balik rumah, kami makan bersama, berbual, pasang bunga api dan nikmati hari itu bersama. Itu yang menjadikannya istimewa,” katanya.

Yogendran turut menzahirkan rasa terima kasih kepada isteri yang sentiasa memahami tuntutan tugasnya sebagai jurulatih kebangsaan.

“Tanpa sokongan isteri, memang sukar nak seimbangkan antara keluarga dan kerja. Dia banyak membantu supaya saya boleh fokus bila di gelanggang,” jelasnya.

Walaupun hanya sehari, Yogendran mahu menggunakan kesempatan itu untuk ‘mengisi semula tenaga jiwa’ sebelum kembali menyusun strategi untuk musim hujung tahun yang padat.

Perayaan kali ini bukan tentang cahaya lampu atau pakaian baharu, tetapi tentang kehangatan keluarga dan rasa syukur dapat pulang walau seketika.

Di tengah hiruk-pikuk jadual antarabangsa, sepinggan Ayam Palembang menjadi penawar rindu dan semangat baru buat Yogendran. – UTUSAN





Source link