Malaysia Oversight

Ay Ling persoal rasional kenaikan tarif air disebalik perkhidmatan belum memuaskan

By Utusan in August 5, 2025 – Reading time 2 minute
Ay Ling persoal rasional kenaikan tarif air disebalik perkhidmatan belum memuaskan


KANGAR: Ketua Pembangkang Dewan Undangan Negeri (DUN) Perlis, Gan Ay Ling mempersoal rasional kenaikan tarif air di negeri ini disebalik kualiti perkhidmatan yang disediakan buat pengguna masih belum memuaskan.

Kata Ahli Dewan Undangan Negeri () Indera Kayangan itu, usaha bagi penstrukturan semula tarif air itu bukannya ditolak sepenuhnya namun kadar kenaikan berkenaan hanya boleh diterima sekiranya berlaku reformasi pengurusan secara menyeluruh di Syarikat Air Perlis (SAP).

Beliau berkata, selain itu, kenaikan berkenaan juga perlu seiring dengan penambahbaikan kualiti bekalan secara nyata dan ketelusan dalam penggunaan hasil tersebut.

“Persoalan yang perlu dijawab oleh negeri dan SAP ialah bagaimana dana tambahan hasil kenaikan tarif ini digunakan dan adakah audit bebas akan dilaksanakan terhadap syarikat itu ?. Selain itu, dimanakah pelan penyelenggaraan jangka panjang dan pelaburan semula dalam infrastruktur bekalan air ini ?,” soalnya dalam sesi sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Perlis hari ini.

Kadar tarif air bagi pengguna domestik di hampir semua negeri di semenanjung Malaysia serta Wilayah Persekutuan Labuan dinaikkan bermula 1 Ogos ini, susulan pewartaan struktur baharu tarif air yang diumumkan oleh Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) dengan Perlis menyaksikan kenaikan caj minimum daripada RM7.20 kepada RM8.80 iaitu peningkatan sebanyak RM1.60.

Dalam pada itu, Ay Ling berkata, pihaknya mencadangkan agar negeri dan SAP membentangkan Pelan Tindakan Komprehensif merangkumi pengurangan kadar air tak berhasil (NRW) kepada bawah 30 peratus dalam tempoh tiga tahun.

“Selain itu, penstrukturan semula tarif ini perlu dilaksana secara bersasar dengan kadar khas untuk kumpulan B40, ibu tunggal dan orang kurang upaya (OKU),” katanya.

Dalam pada itu, Ay Ling turut membangkitkan mengenai pelaksanaan sistem parkir berpalang di negeri ini yang kian meruncing biar pun negeri mengumumkan penangguhan untuk tempoh enam bulan.

Katanya, menerusi satu tinjauan awam melibatkan lebih 300 responden yang dilaksanakan sebelum ini mendapati tahap penerimaan terhadap sistem parkir itu amat rendah antara 13 hingga 18 peratus.

“Rakyat merasakan sistem ini tidak sesuai dengan suasana dan realiti perbandaran negeri kita yang kecil, berstruktur sempit dan bergantung pada aktiviti perniagaan mikro.

“Sebagai wakil rakyat, saya ingin mencadangkan beberapa langkah alternatif dan penambahbaikan berdasarkan suara rakyat sendiri antaranya dengan menukar kepada sistem digital tanpa palang dan halangan fizikal.

“Malah, pelaksanaanya juga perlu dijalankan secara berperingkat dengan kajian rintis di satu atau dua lokasi strategik bagi melihat keberkesanan serta mendapatkan maklum balas,” katanya.-UTUSAN





Source link