GLOBAL | Australia membatalkan visa seorang ahli politik Israel berhaluan kanan, Simcha Rothman, yang menyokong rancangan pemindahan paksa rakyat Palestin dari Gaza dan menggelar kanak-kanak Palestin sebagai “musuh” Israel, lapor Anadolu Ajansi yang memetik ABC News pada Isnin.
Rothman – yang merupakan sebahagian daripada gabungan pemerintahan Perdana Menteri Benjamin Netanyahu – merupakan Pengerusi Jawatankuasa Perlembagaan, Undang-undang dan Kehakiman Israel.
Menteri Dalam Negeri Australia, Tony Burke, membatalkan visa Rothman (gambar atas), sekali gus menghalang ahli politik terbabit daripada memasuki negara itu selama tiga tahun.
Rothman ialah anggota Knesset dari parti Religious Zionism. Dia dijadual berucap dalam majlis anjuran Persatuan Yahudi Australia di Sydney pada Khamis depan.
“Kerajaan kami mengambil pendirian tegas terhadap individu yang cuba datang ke negara ini untuk menyebarkan perpecahan,” kata Burke dalam satu kenyataan.
“Jika anda datang ke Australia untuk menyebarkan mesej kebencian dan perpecahan, kami tidak mahu anda di sini.
“Di bawah kerajaan kami, Australia akan menjadi sebuah negara yang semua orang boleh hidup dengan selamat dan berasa selamat,” tambahnya.
Australia dijangka mengiktiraf Palestin di Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu pada bulan depan.
– Bernama/Anadolu