Sistem audit negara perlu dilaksanakan dengan pendekatan yang lebih pantas, tepat, dan berorientasikan impak maksimum kepada rakyat, bukannya sekadar membetulkan kira-kira atau menjadi rutin semata-mata, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Beliau berkata kelewatan dalam pelaksanaan audit boleh membuka ruang kepada ketirisan dan menjejaskan keyakinan awam terhadap ketelusan sistem pengauditan negara.
“Kalau kita kata sistem pengauditan kita baik dan telus, tetapi lambat dan lembab, ia akan membuka ruang ketirisan. Sebab itu audit perlu lebih pantas dan tepat,” katanya semasa berucap pada Majlis Peluncaran Sambutan 120 Tahun Jabatan Audit Negara (JAN) di Putrajaya, hari ini.
Turut hadir Yang Dipertua Dewan Rakyat Tan Sri Dr Johari Abdul, Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil, Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar dan Ketua Audit Negara Datuk Seri Wan Suraya Wan Mohd Radzi.
Anwar berkata JAN juga perlu memastikan sistem pengauditan yang diperkenal dan dilaksanakan tidak membebankan rakyat serta mudah difahami oleh mereka.
“Kadang-kadang, sistem yang kita perkenalkan membuat rakyat rasa terbeban. Setiap kali kita mengambil langkah baharu untuk memperbaiki, selalunya akan dibantah oleh mereka yang terbiasa, sama ada kerana kelewatan atau kerana penyelewengan yang berlaku sebelum ini.
“Tetapi, bagaimana kita boleh memperkenalkan sistem baharu yang tidak terlalu menekan dan mempersulitkan rakyat? Ini menuntut Ketua Audit dan seluruh warga jabatan untuk mendekati, memahami, dan menyantuni rakyat, kerana saya anggap perkara ini sangat penting,” kata beliau.
Sehubungan itu, Anwar berkata Ketua Audit dan warga Jabatan Audit Negara perlu sentiasa turun padang untuk mendekati rakyat supaya mereka faham bahawa sistem audit adalah sesuatu yang sangat baik, diperlukan, dan mampu menentukan tahap kemajuan negara.
“Kita tidak mahu rakyat beranggapan sistem audit itu membebankan. Sistem audit mesti dijelaskan sebagai langkah proaktif untuk memperbaiki.
“Jika kita mahu negara ini mencapai kedudukan yang lebih tinggi, sistemnya mesti lebih berkesan, efisien, telus, dan memberikan manfaat serta nikmat kepada rakyat. Ujiannya adalah bagaimana kita dapat menyantuni dan memahamkan rakyat tentang kepentingan sistem audit,” katanya.
– Bernama






