Malaysia Oversight

Atlet wusyu negara terima ganjaran SHAKAM RM480,000 daripada Hannah Yeoh

By TheSun in September 11, 2025 – Reading time 2 minute
Atlet wusyu negara terima ganjaran SHAKAM RM480,000 daripada Hannah Yeoh


SEPANG: Menteri Belia dan Sukan Hannah Yeoh mengumumkan ganjaran durian runtuh berjumlah RM480,000 untuk enam atlet wusyu negara yang pulang dengan kejayaan membanggakan dalam Kejohanan Wusyu Dunia 2025 di Brazil.

Beliau berkata skuad yang meraih lima pingat emas, satu perak dan dua gangsa itu memperoleh ganjaran tinggi menerusi Skim Hadiah Kemenangan Sukan (SHAKAM) dengan mengambil kira perbezaan penganjuran kejohanan dunia bagi sukan itu yang diadakan setiap dua tahun.

“Ada perbezaan di antara kejohanan dunia yang dianjurkan setahun sekali seperti badminton, ganjarannya berbeza dengan kejohanan dunia yang dianjurkan dua tahun sekali oleh sukan lain seperti wusyu.”

“Jadi untuk pencapaian ini, pasukan wusyu pulang dengan ganjaran RM480,000.”

“Satu emas RM80,000 dan untuk perak RM40,000 dan untuk gangsa RM20,000.”

“Yang dapat gangsa itu akan dikongsikan kalau dua orang ataupun tiga orang, mereka akan kongsikan RM20,000 tersebut,“ katanya kepada pemberita di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Terminal 1 di sini hari ini.

Penerima ganjaran itu terdiri daripada Si Shin Peng, Tan Cheong Min, Lee Jia Rong, Pang Pui Yee, Bryan Ti Kai Jie dan Clement Ting Su Wei.

Shin Peng yang memenangi emas lelaki Qiangshu, Jianshu dan gangsa berpasukan Duilian muncul penerima tertinggi dengan jumlah RM166,666.

Cheong Min yang mengungguli pingat emas wanita Nangun, emas berpasukan Duilian dan perak individu Nandao memperoleh RM146,666.

Jia Rong meraih RM126,666 hasil emas wanita individu Daoshu, emas berpasukan Duilian dan gangsa individu Gunshu.

Pui Yee menerima RM26,666 menerusi emas wanita berpasukan Duilian manakala Bryan dan Clement masing-masing membawa pulang RM6,666 menerusi gangsa berpasukan Duilian.

Hannah turut mengumumkan berita gembira untuk beregu campuran Chen Tang Jie-Toh Ee Wei yang diberikan insentif berjumlah RM40,000 setiap seorang sebagai pengiktirafan menjuarai Kejohanan Badminton Dunia di Paris bulan lepas.

Gandingan Pearly Tan-M.Thinaah yang muncul beregu wanita negara pertama merangkul pencapaian naib johan pada kejohanan sama turut diiktiraf dengan insentif RM20,000 setiap seorang. – Bernama



Source link