Malaysia Oversight

Atlet para boling Haziq Danish, rai kejayaan akademik cemerlang

By TheSun in August 11, 2025 – Reading time 1 minute
Atlet para boling Haziq Danish, rai kejayaan akademik cemerlang


SHAH ALAM: Kesibukan menjalani latihan termasuk membuat persiapan menghadapi Kejohanan Sukan Pekak ASEAN 2025 tidak menghalang atlet para boling, Mohamad Haziq Danish Rozainy, memperoleh keputusan cemerlang dalam Sijil Kemahiran Penyenggaraan Mekanikal.

Mohamad Haziq Danish, 21, yang juga penuntut Politeknik Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah (PSA), berkata beliau tidak pernah mengabaikan tanggungjawab sebagai pelajar kerana mahu memastikan masa depannya terjamin walaupun bergelar atlet kebangsaan.

“Pada peringkat awal, saya menghadapi masalah dalam subjek Bahasa Inggeris dan Matematik, namun semangat untuk terus berjuang membolehkan saya memperoleh Himpunan Purata Nilai Mata (HPNM) 3.99 pada akhir pengajian.

“Saya akan terus menimba ilmu bagi bersaing dengan masyarakat dan mendapatkan pekerjaan yang lebih baik pada masa akan datang,” katanya ketika ditemui selepas Majlis Konvokesyen PSA Ke-26 di sini, hari ini.

Beliau ditemani jurubahasa daripada politeknik berkenaan pada majlis tersebut.

Anak sulung daripada empat beradik itu berkata kejayaannya membuktikan PSA menyediakan peluang pembelajaran yang kondusif kepada golongan orang kurang upaya (OKU) melalui kemudahan seperti jurubahasa, alat bantu belajar dan bantuan kewangan.

Terdahulu, anak jati Kuala Lumpur itu antara 937 graduan yang diraikan pada majlis berkenaan, menjadikan PSA telah melahirkan 44,509 graduan sejak penubuhannya pada 1997.

Majlis turut dihadiri Pengarah PSA Zainah Rujihan yang mengiringi Pengarah Korporat Sumber Manusia Panasonic Appliance Air-Conditioning (M) Sdn Bhd, Datuk Moktar Mohd Salleh, selaku tetamu kehormat untuk menyampaikan sijil kepada graduan.

Mohamad Haziq Danish akan mewakili kontinjen Malaysia pada Sukan Pekak ASEAN 2025 yang dijadual berlangsung di Jakarta, Indonesia, dari 20 hingga 26 Ogos depan- BERNAMA



Source link