Pengerusi Mara, Asyraf Wajdi Dusuki mendedahkan kisah seorang pelajar cemerlang yang terpaksa berhenti belajar dan bekerja di kilang kerana kesempitan hidup.
Menurutnya, pelajar berkenaan memperoleh keputusan SPM 9A serta CGPA 3.87 di peringkat asasi, namun memilih untuk bekerja demi membantu keluarga.
“Lebih menyedihkan saya kerana pelajar ini bekas pelajar MRSM. Ayahnya sakit manakala ibunya hanya bekerja membantu membungkus nasi lemak.
“Apabila beliau dapat emel bahawa pihak universiti tidak dapat menawarkan bantuan, dia ambil keputusan sendirian untuk tidak meneruskan pengajian ke kampus induk, sebaliknya bekerja kilang untuk menampung keluarga,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Asyraf berkata dia telah meminta Umno bahagian membantu keluarga tersebut, selain berhasrat untuk bertemu sendiri dengan pelajar itu bagi memujuknya meneruskan pengajian.
Katanya lagi, Mara melalui perbincangan dengan Timbalan Ketua Pengarah Pendidikan telah bersetuju menawarkan tempat dalam bidang Kejuruteraan Elektrik di British Malaysia Institute (BMI), Universiti Kuala Lumpur (UniKL), selari dengan pencapaian akademik pelajar itu.
“Mara akan tawar pembiayaan belajar dan laluan kerjaya yang baik. Sesungguhnya hanya dengan ilmu sahaja boleh merubah kehidupan,” katanya.






