ASUS Memindahkan 90% Pengilangan Produk Untuk Pasaran Amerika Syarikat Ke Asia Tenggara
Nazrin
Banyak syarikat teknologi yang terkesan akibat tarif-tarif yang telah dan akan dikenakan ke atas mereka oleh kerajaan Amerika Syarikat. khususnya kerana produk-produk yang dijual secara lazimnya dihasilkan di kilang-kilang China, yang dijangka akan menerima nilai tarif yang lebih tinggi tidak lama lagi.

ASUS telah lama sedar akan perkara ini dan telah secara perlahan memindahkan pengilangan produk-produk teknologi dan aksesori gaming yang dibangunkan untuk pasaran Amerika Syarikat dari China ke beberapa negara di Asia Tenggara.
Menurut laporan PC Gamer, ASUS nampaknya telah memindahkan pengilangan komponen PC seperti papan induk dan kad grafik ke negara-negara seperti Indonesia, Vietnam dan Thailand. ASUS telah mengumumkan baru-baru ini melalui panggilan pelabur mereka bahawa 90 peratus daripada pengilangan produk-produk telah siap dipindahkan ke negara-negara tersebut baru-baru ini.

Perkara ini dilakukan kerana terdapat komponen-komponen elektronik yang boleh dikenakan tarif setinggi 145 peratus di masa akan datang, walaupun buat masa ini tarif tersebut ditangguhkan sehingga beberapa bulan akan datang. Apabila berkuat-kuasa, ASUS akan dipaksa untuk menjual produk-produk yang dibawa masuk ke pasaran tersebut pada harga yang sangat mahal.
Syarikat-syarikat seperti AMD dan NVIDIA telah dikecualikan daripada tarif-tarif tinggi ini kerana kepentingan mereka kepada kerajaan Amerika Syarikat, tetapi untuk syarikat-syarikat lain, tarif yang dikenakan terhadap kemasukan produk-produk berkaitan semikonduktor ke dalam negara tersebut dilihat akan menjejaskan jualan dan keuntungan banyak syarikat-syarikat teknologi.

ASUS khususnya bukan sahaja membuat kelengkapan komputer, tetapi juga mempunyai siri peranti pintar ASUS ROG Phone yang juga dijual di Amerika Syarikat. Ini, bersama-sama dengan pelbagai cip semikonduktor lain yang digunakan pada peranti dan komponen mereka mungkin akan menyebabkan harga produk yang dijual di pasaran tersebut semakin mahal.
Komen
Sila log masuk untuk menghantar komen.