Malaysia Oversight

Asean tinjau potensi tenaga nuklear sebagai sumber tenaga bersih dan stabil

By MkiniBM in May 2, 2025 – Reading time 2 minute
Asean tinjau potensi tenaga nuklear sebagai sumber tenaga bersih dan stabil


Negara anggota ASEAN sedang meneliti prospek tenaga nuklear sebagai sumber bekalan elektrik yang bersih dan stabil yang berpotensi menggantikan sumber penjanaan daripada bahan api fosil bagi menyokong agenda peralihan tenaga serantau.

Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA) dalam kenyataan hari ini berkata perkara itu adalah susulan hasil Mesyuarat Nuclear Energy Cooperation Sub-Sector Network (NEC-SSN) ke-15 dan mesyuarat berkaitan yang berlangsung dari 28 hingga 30 April di Kuala Lumpur.

Mesyuarat anjuran PETRA dengan pihak ASEAN Centre for Energy (ACE) dan dipengerusikan oleh Filipina itu melibatkan wakil-wakil negara anggota ASEAN secara fizikal dan dalam talian iaitu Thailand, Indonesia, Kemboja, Filipina, Vietnam, Singapura dan Malaysia sebagai tuan rumah serta Timor-Leste sebagai pemerhati.

“Antara perkara dibincangkan adalah cadangan bidang tumpuan bagi penggubalan strategi dan pelan tindakan yang akan dilaksanakan melalui sektor Civilan Nuclear Energy (CNE) di bawah ASEAN Plan of Action for Energy Cooperation (APAEC) 2026-2030 dan akan dibentang serta dipertimbangkan semasa ASEAN Senior Officials’ Meeting on Energy (SOME) pada Jun 2025 di Kuching, Sarawak,” katanya.

Menurut kenyataan itu, mesyuarat berkenaan turut memperhalusi senarai potensi aktiviti yang boleh dilaksanakan di bawah sektor CNE, ia akan dijadikan sasaran di bawah APAEC 2026-2030.

Selain itu, PETRA berkata perbincangan turut diadakan bersama rakan dialog dan organisasi antarabangsa seperti Korea Nuclear Association, ASEAN Business Council, Integrated Support Center for Nuclear Nonproliferation and Nuclear Security, Japan Atomic Energy Agency dan Global Centre for Nuclear Energy Partnership yang akan membantu ASEAN membangunkan landskap tenaga nuklear di rantau ini.

“Melalui kerjasama serantau ini, Malaysia dan negara anggota ASEAN menunjukkan komitmen untuk mencari penyelesaian jangka panjang terhadap cabaran tenaga, selaras dengan aspirasi Malaysia MADANI dalam membina masa depan yang lebih mampan dan selamat untuk generasi akan datang,” katanya.

– Bernama



Source link