Malaysia Oversight

Arwah Pak Zain alami kanser prostat – Anuar Zain

By Utusan in August 26, 2025 – Reading time 2 minute
Arwah Pak Zain alami kanser prostat - Anuar Zain


SHAH ALAM: Penyanyi terkemuka tanah air, Anuar Zain meluahkan rasa syukur apabila urusan pengurusan jenazah bapanya, Allahyarham Zain Abdullah, berjalan lancar dan dipermudahkan.

Anuar, 58, memaklumkan proses memandikan, mengkafankan, solat dan pengebumian jenazah selesai dalam tempoh kurang lima jam.

“Saya bersyukur segalanya dipermudahkan. Proses memandikan, kafan, sembahyang dan kebumikan semuanya selesai dalam masa lima jam.

“Orang kata kalau segalanya dipermudahkan, bermakna orang itu dikasihi Allah,”* katanya ketika ditemui di Tanah Perkuburan Elmina, di sini, hari ini.

Dalam pada itu, Anuar mendedahkan arwah bapanya disahkan menghidap kanser prostat sejak Disember tahun lalu.

“Ayah menghidap kanser prostat. Kami sekeluarga tahu arwah hidap kanser pada Disember lalu.

“Kanser itu sudah merebak dan semuanya berlaku dengan pantas,” katanya.

Berkongsi detik terakhir bersama arwah, penyanyi Lelaki Ini itu berkata, dia dan ahli keluarga lain sempat berada di sisi ketika Allahyarham menghembuskan nafas terakhir.

“Ketika arwah menghembuskan nafas terakhir, saya berada di rumah. Kami sekeluarga reda dengan pemergian arwah,” ujarnya.

Allahyarham menghembuskan nafas terakhir di kediamannya di Kayangan Heights, di sini, pada usia 87 tahun.

Difahamkan, Allahyarham adalah individu yang menjadi tulang belakang permulaan karier seni dua beradik popular itu, Ziana Zain dan Anuar Zain.





Source link