Timbalan Pengerusi PSM S Arutchelvan dibebaskan dengan jaminan polis malam tadi selepas ditahan bagi membantu siasatan berkaitan penyerahan memorandum di luar Parlimen pada 13 Ogos lalu.
Dia dibebaskan 12 tengah malam tadi, selepas disiasat hampir enam jam di ibu pejabat polis daerah Dang Wangi, Kuala Lumpur.
Sebelum ini, pihak polis mengeluarkan waran tangkap terhadapnya, dan mengarahkannya supaya hadir ke ibu pejabat polis (IPD) Dang Wangi, di Kuala Lumpur.
Dia dilihat memasuki ke IPD Dang Wangi 6 petang semalam bersama peguamnya KS Bawani dan Shashi Devan.
Bercakap kepada ahli PSM dan aktivis yang berkumpul di hadapan balai polis, Arutchelvan berkata dia dibebaskan susulan tekanan daripada anggota parti dan kawan-kawannya.
“Kita tahu bahawa tekanan yang dibuat oleh kawan-kawan ini amat membantu pembebasan saya hari ini. Kerana mereka (polis) cuba membebaskan kita tetapi ada sedikit ‘rancangan’ daripada atas.
“Banyak kali dia (pegawai siasatan) cakap arahan belum turun. Tetapi, pada akhirnya, bila banyak tekanan diberikan oleh kawan-kawan di sini, tiba-tiba, dari atas mereka sedang cakap boleh beri jamin dan sudah habis buat jamin dan sebagainya.
“Jadi, terima kasih sekali lagi kepada dua peguam. Kita akan teruskan perjuangan pada masa depan. Kita sekali lagi membuktikan kuasa rakyatlah kuasa yang keramat,” katanya.
Terdahulu, lebih 30 anggota parti itu dan aktivis berkumpul di hadapan IPD Dang Wangi sejak pukul 6 petang untuk menunjukkan solidariti kepada Arutchelvan.
Para peserta memegang lilin sebagai tanda solidariti sambil melaungkan slogan “hidup rakyat, bebaskan Arul”.
Pada 13 Ogos, polis mengesahkan bahawa kekecohan di luar Parlimen — yang menyaksikan Arutchelvan terjatuh ke tanah — telah mengakibatkan seorang anggota polis cedera.
Ketua Polis Kuala Lumpur, Fadil Marsus berkata satu laporan polis telah dibuat dan kertas siasatan dibuka di bawah Seksyen 353/427 Kanun Keseksaan.
Dalam rakaman video yang dilihat Malaysiakini, kekecohan tercetus antara beberapa pekerja estet dan pihak polis selepas pihak berkuasa dilihat cuba menghalang perarakan menuju ke pintu masuk Parlimen.
Perarakan dan perhimpunan itu bertujuan menyerahkan memorandum menggesa kerajaan menggubal undang-undang yang mewajibkan syarikat perladangan menyediakan rumah untuk pekerja mereka.
Memorandum itu diserahkan kepada Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi) M Kulasegaran, wakil timbalan perdana menteri kedua, dan ketua whip Perikatan Nasional Takiyuddin Hassan.