Tidak dinafikan, memang cantik betul artis wanita yang seorang ini sekarang! Kalau tengok gambar-gambarnya, memang ramai yang tidak percaya itu orang yang sama.
Dulu bukanlah tidak cantik, tetapi sekarang sudah langsing macam model luar negara. Ramai memuji paras rupa dan bentuk badannya di ruangan komen setiap kali dia muat naik gambar di Instagram.
Tapi, betulkah semua itu hasil bersenam semata-mata? Cik Bunga bukan mahu menabur fitnah, tapi bila cerita tidak konsisten, kita sebagai peminat pun naik curiga.
Dulu, masa berat badan dia mula turun sikit-sikit, katanya kerana dia rajin workout, diet secara eat clean, tidak sentuh gula, dan tidak lupa amalkan gaya hidup sihat.
Kononnya, semua itu sebab dia jalani rutin disiplin yang tinggi. Eloklah itu. Tapi bila makin kurus mendadak, sampai tidak nampak bayang pipi pun, ramai yang mula bertanya, betul bersenamkah atau guna jalan mudah?
Sumber terdekat berbisik kepada Cik Bunga, katanya si artis ini sebenarnya telah menjalani rawatan bariatrik secara senyap-senyap di sebuah pusat perubatan swasta terkenal.
Bagi Cik Bunga, tidak salah pun kalau buat rawatan itu, lebih-lebih lagi kalau ia demi kesihatan dan keyakinan diri. Tapi yang jadi persoalan, kenapa perlu sorok dan tipu?
Kenapa cipta naratif yang semua itu hasil berpeluh di gimnasium semata-mata? Ramai peminat yang anggap dia sebagai satu inspirasi dan sekarang ramai pula yang kecewa bila tahu kisah sebenar.
Kata sumber itu lagi, dia sengaja tidak mahu kongsi kerana takut netizen akan anggap dia menipu atau memilih jalan mudah. Tapi bukankah lebih baik berlaku jujur?
Sekurang-kurangnya, dia boleh bantu beri kesedaran kepada mereka yang mengalami masalah berat badan dan perlukan bantuan profesional.
Tak mengapa, kita tunggu dan lihat. Mungkin satu hari nanti dia sendiri akan buka mulut dan berkongsi kebenaran.
Tapi buat masa ni, biarlah Cik Bunga simpan dulu nama artis ini.