Pemuda Bersatu (Armada) menolak penjelasan kerajaan berkaitan pengecualian sewa pesawat dan kapal daripada cukai perkhidmatan atas alasan melindungi ekonomi dan pelancongan tempatan.
Pengarah Jabatan Komunikasi dan Media Baharu Armada Na’im Brundage berkata alasan itu meremehkan sumbangan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) yang menjadi tulang belakang ekonomi.
“Keputusan pengecualian cukai ini membuktikan dengan jelas bahawa kerajaan lebih mengutamakan kepentingan korporat besar dan golongan kaya berbanding syarikat kecil dan rakyat biasa.
“Sewaan barangan harian seperti motosikal, kereta, van, lori dan bas terus dikenakan cukai, sedangkan sewaan kapal dan pesawat yang hanya mampu digunakan oleh syarikat besar dan golongan elit diberikan keistimewaan,” katanya.
Kementerian Kewangan kelmarin berkata pengecualian perkhidmatan sewaan pesawat dan kapal dibuat bagi menghalang pemilik tempatan mendaftarkan pengangkutan itu di negara lain.
Ia juga bagi mengekalkan daya saing industri tempatan ketika negara jiran tidak mengenakan cukai yang sama.

Pengecualian itu diberikan terutamanya untuk industri maritim dan penerbangan kerana mereka memainkan peranan penting dalam rantaian bekalan, pelancongan dan ekonomi negara.
Dalam kenyataan hari ini, Na’im berkata “pola ketidakadilan” sebegitu sudah berulang kali berlaku.
Katanya, kerajaan “tergesa-gesa” melaksanakan Cukai barang bernilai rendah yang menekan rakyat membeli barangan murah dari luar negara, tetapi menangguhkan cukai barang bernilai tinggi yang sepatutnya dikenakan terhadap barangan mewah golongan “maha kaya”.
Katanya, dasar sebegini bukan sahaja berat sebelah, tetapi juga membuktikan kerajaan gagal mempertahankan kepentingan rakyat kebanyakan.
“Selagi kerajaan terus melindungi syarikat besar dan golongan berada daripada beban cukai, beban itu akan terus ditanggung rakyat biasa,” katanya yang juga exco Armada.