PETALING JAYA: Beregu muda lelaki negara, Arif Junaidi-Yap Roy King mencuri tumpuan apabila melakar kejutan terbesar pada pusingan pertama Terbuka Hong Kong 2025 selepas menumbangkan beregu No.4 dunia dari Denmark, Kim Astrup-Anders Skaarup Rasmussen hari ini.
Aksi penuh berani yang dipamerkan Arif-Roy King di Koliseum Hong Kong membolehkan mereka menamatkan saingan straight set 21-19, 23-21 dalam masa 43 minit.
Kemenangan itu juga menjadi yang pertama buat mereka ke atas pasangan pilihan ketiga kejohanan tersebut selepas dua kali tunduk berturut-turut di Malaysia Masters 2024 dan Terbuka Denmark 2024.
Pasangan No.20 dunia itu seterusnya akan menentang pemenang antara rakan senegara, Muhammad Haikal Nazri-Choong Hon Jian atau pasangan Korea Selatan, Kim Gi Jung-Kim Sa Rang bagi penentuan ke suku akhir Rabu nanti.
Bagaimanapun, nasib berbeza dialami beregu No.2 dunia, Aaron Chia-Soh Wooi Yik apabila mereka tersingkir mengejut di tangan pasangan England, Ben Lane-Sean Vendy 13-21, 13-21 dalam masa singkat 28 minit.
Juara dunia 2022 itu sekali lagi gagal melepasi halangan awal selepas sebelum ini terkandas di suku akhir Kejohanan Dunia bulan lalu.
Dalam saingan beregu wanita, jaguh negara yang juga juara bertahan, Pearly Tan-M. Thinaah mara ke pusingan kedua selepas tidak menghadapi masalah menundukkan pasangan tuan rumah, Chu Wing Chi-Yu Yi Kiu hanya dalam tempoh 25 minit.
Naib juara dunia 2025 itu bakal berdepan cabaran pasangan Indonesia, Febriana Dwipuji Kusuma-Meilysa Trias Puspitasari bagi perebutan tiket suku akhir pada Rabu.
Turut melangkah ke pusingan kedua, gandingan Wanita Go Pei Kee-Teoh Mei Xing yang bangkit menewaskan beregu tuan rumah, Fan Ka Yan-Yau Mau Ying 21-15, 17-21, 21-12 dalam aksi sengit selama 58 minit.
Pasangan No.20 dunia itu dijadualkan berdepan wakil Taiwan, Hsu Ta Ching-Sung Yu Hsuan untuk penentuan ke suku akhir.
Sementara itu, beregu professional lelaki negara, Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Rumsani turut mara selepas menundukkan pasangan China, Xie Haonan-Zeng Wei Han 21-12, 11-21, 21-19 dalam pertarungan selama 51 minit.
Beregu No.3 dunia itu bakal berdepan pasangan kembar Taiwan, Fang Chih Lee-Fang Jen Lee pada aksi pusingan kedua.
Man Wei Chong-Tee Kai Wun turut menceriakan kem negara apabila mengatasi rakan senegara, Nur Mohd Azryn Ayub-Tan Wee Kiong 21-19, 21-12 dalam tempoh 31 minit.
Beregu No.6 dunia itu dijadualkan menentang pasangan Taiwan, Lee Jhe Huei-Yang Po Hsuan yang terdahulu menyingkirkan gandingan profesional negara, Ong Yew Sin-Teo Ee Yi 22-24, 22-20, 21-17. – UTUSAN